Pelakon dan usahawan, Nur Nilam Ortiz menepis dakwaan kononnya dia sudah rujuk serta kembali tinggal bersama bekas suaminya, Azlan Komeng.
Nafi rujuk dengan bekas suami

Memetik laporan Kosmo, menurut Nilam, 45, meskipun mereka sering dilihat bersama dalam siaran langsung di TikTok, hubungan yang masih terjalin hanyalah atas urusan perniagaan dan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak-anak.
“Tuduhan tersebut tidak berasas, walaupun kami telah bercerai, bekas suami masih merupakan rakan niaga saya dan kami bertanggungjawab menggerakkan operasi Nilam Empire.
“Kehadirannya dalam sesi siaran langsung laman sosial saya adalah atas kapasiti profesional serta hanya berkaitan urusan bisnes,” katanya.
Sebelum ini, kemunculan Azlan dalam kebanyakan sesi siaran langsung Nilam mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen, termasuk dakwaan mereka sudah berbaik dan masih tinggal sebumbung walaupun telah berpisah.
Mengulas lanjut, Nilam berkata hubungan baik yang dikekalkan antara mereka adalah demi kepentingan dua cahaya mata, iaitu anak lelaki hasil perkahwinannya dengan Azlan serta seorang lagi anak daripada perkahwinan terdahulu yang rapat dengan aktor berkenaan.
“Azlan sentiasa berusaha meluangkan masa dengan anak-anak malah saya tidak pernah menghalang keakraban mereka. Dia tetap ayah kepada anak-anak kami.
“Saya percaya perceraian bukan alasan untuk memutuskan hubungan kekeluargaan atau mewujudkan permusuhan antara dua individu yang pernah berkongsi kehidupan bersama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nilam memaklumkan tumpuan utamanya ketika ini adalah untuk terus mengembangkan empayar perniagaannya, Nilam Empire, selain memastikan setiap produk yang dipasarkan memenuhi standard kualiti premium.
Katanya, setiap produk yang dihasilkan melalui proses pembangunan yang teliti bagi mengekalkan identiti jenama serta kepercayaan pengguna.

Pada masa sama, Nilam turut menyuarakan kebimbangan mengenai lambakan produk tiruan yang menggunakan nama Nilam Empire dan mengingatkan pengguna supaya lebih berhati-hati ketika membuat pembelian.
“Terdapat pihak yang meniru produk kami hampir sepenuhnya dan menjualnya pada harga jauh lebih rendah.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran harga yang terlalu murah kerana kualiti serta keselamatan pengguna harus menjadi keutamaan,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Sah cerai! Nur Nilam & Azlan Komeng nafi gimik ‘marketing’, tetap bersahabat demi anak
Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati meniru, mengedar atau menjual produk tiruan menggunakan identiti Nilam Empire.
Terdahulu, Nilam dan Azlan mengumumkan mereka telah sah bercerai pada Mac lalu, namun tidak mendedahkan tarikh sebenar perpisahan tersebut. Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022 itu dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia lebih setahun.
Sumber: Kosmo (Hanisah Selamat)




