Tak sedar lima tahun jiran sebelah curi elektrik rumah

Tak sedar lima tahun jiran sebelah curi elektrik rumah

JAKARTA – Kegiatan seorang jiran yang didakwa mencuri bekalan elektrik daripada rumah bersebelahan sejak lima tahun lalu akhirnya terbongkar selepas pemeriksaan dilakukan bersama pihak syarikat utiliti elektrik Indonesia, PLN.

Menurut laporan portal Lambe Turah, kejadian itu mula mendapat perhatian ramai selepas mangsa berkongsi pengalaman tersebut menerusi media sosial.

Mangsa memaklumkan bahawa pemeriksaan yang dijalankan bersama petugas PLN mendapati terdapat sambungan elektrik yang disalurkan dari rumahnya ke kediaman jiran berkenaan.

“Jiran didapati menggunakan elektrik dari rumah saya sejak April 2021 dan perkara itu hanya disedari pada 15 Jun 2026,” katanya dalam hantaran tersebut.

Mangsa berkata, siasatan lanjut yang dijalankan oleh petugas PLN dengan kerjasama ketua kejiranan mengesahkan wujud sambungan kabel elektrik yang dipasang secara tidak sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati kabel elektrik dari rumah saya telah ditebuk melalui dinding dan disambungkan terus ke rumah jiran.

“Di dalam rumahnya pula terdapat beberapa kaedah yang digunakan untuk menyembunyikan aliran elektrik tersebut, menyebabkan perbuatan itu tidak disedari selama bertahun-tahun,” katanya.

Kes berkenaan kini tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna internet. – Agensi.

Scroll to Top