KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul mengesahkan telah menerima surat makluman berhubung kedudukan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang.
Beliau ketika dihubungi Bernama turut memaklumkan mesyuarat Dewan Rakyat yang bermula esok akan melibatkan beberapa pertukaran tempat duduk ahli Parlimen.
Ia termasuk tempat duduk Ahli Parlimen Pagoh yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dibuat atas permintaannya sendiri.
Berdasarkan pelan tempat duduk Ahli Parlimen di laman rasmi Parlimen yang dikemas kini hingga 19 Jun, Muhyiddin kini ditempatkan di Blok E di dalam Dewan Rakyat.
Kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang kekal tidak berubah di barisan hadapan di blok pembangkang dan ditempatkan bersebelahan Ahli Parlimen Kemaman merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika Konvensyen Reset Malaysia memaklumkan Hamzah kembali menggalas tugas sebagai Ketua Pembangkang.
Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 berlangsung dari 22 Jun hingga 16 Julai depan. – Bernama



