Kerajaan Pusat jangan bertindak sebagai ‘master’, kita bukan berada di zaman penjajah – Annuar Musa

Kerajaan Pusat jangan bertindak sebagai ‘master’, kita bukan berada di zaman penjajah – Annuar Musa

SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya bertindak sebagai ‘master’ terhadap negeri-negeri kerana Malaysia bukan lagi berada pada era penjajahan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, setiap negeri mempunyai institusi pemerintahan sendiri yang perlu dihormati semua.

“Jangan perlekeh mana mana negeri kerana setiap negeri ada peranan yang besar dalam persekutuan. Kita tidak mahu kerajaan pusat bertindak sebagai ‘master’ dan kita bukan berada di zaman penjajah.

“Di setiap negeri ada Sultan,Raja,Yamtuan dan Undang yang memerintah.Di negeri ada Menteri Besar,Exco dan Dewan Undangan masing masing. Semua mesti dihormati,” katanya dalam satu hantaran Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar kerajaan Persekutuan mengembalikan sebahagian hasil dikutip daripada negeri itu secara lebih munasabah bagi membolehkan pembangunan dan kebajikan rakyatnya dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Baginda bertitah, Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada kerajaan Persekutuan, namun hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dipulangkan semula kepada negeri itu bagi memenuhi keperluan hampir lima juta penduduk.

Justeru, Annuar mengingatkan, teguran yang disuarakan Tunku Mahkota Ismail harus menjadi peringatan kepada kerajaan Pusat.

“Titah Pemangku Sultan Johor sangat berterus terang dan barangkali orang lain tidak berani berlaku jujur serta ‘direct to the point’,” ujarnya lagi.

Beliau berpandangan, tuduhan melulu kepada pentadbiran sesebuah negeri semata-mata kerana sentimen politik hanya mengundang kesan balas kepada kerajaan Persekutuan sendiri.

“Titah bahawa ‘bocor’ di negeri sering berkait dengan pusat serta contoh-contoh yang diberikan adalah suatu kebenaran dan dialami di kebanyakan negeri lain,” tambahnya.

Annuar turut menasihatkan supaya kepimpinan di peringkat Persekutuan perlu berubah sikap dengan menghentikan budaya saling menyalahkan yang hanya merugikan semua pihak.

“Kebijaksanaan memimpin dan mengurus di pusat sangat penting. Kelemahan pentadbiran di pusat pasti menjejaskan negeri,” kongsi beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau berpandangan teguran disampaikan Pemangku Sultan Johor perlu diterima secara terbuka kerana ia mencerminkan suara yang turut dirasai oleh banyak negeri lain.

Scroll to Top