Cuaca ekstrem paksa Madrid batalkan tayangan Piala Dunia

Cuaca ekstrem paksa Madrid batalkan tayangan Piala Dunia

Madrid: Tayangan awam perlawanan Piala Dunia membabitkan Sepanyol dan Arab Saudi yang dijadual berlangsung di tengah ibu negara Sepanyol, hari ini, terpaksa dibatalkan susulan gelombang haba melampau yang sedang melanda negara itu.

Perlawanan yang dijadual bermula jam 6 petang waktu tempatan sepatutnya disiarkan menerusi skrin gergasi yang dipasang oleh Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) di kawasan khas penyokong di Plaza de Colon, Madrid.

Bagaimanapun, pihak berkuasa bandar Madrid bersama RFEF membuat keputusan membatalkan acara berkenaan selepas agensi cuaca kebangsaan Sepanyol mengeluarkan amaran cuaca panas tahap jingga, iaitu amaran kedua tertinggi.

Suhu di Madrid dijangka mencecah sehingga 40 darjah Celsius, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan ribuan penyokong yang dijangka hadir.

Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Madrid, keputusan itu dibuat bagi melindungi orang ramai, petugas acara serta pasukan sokongan yang terbabit sepanjang program berkenaan.

“Keputusan ini dibuat dengan tujuan melindungi kesihatan pengunjung, petugas dan semua pihak yang terbabit dalam acara itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Pihak berkuasa turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan menggesa penyokong menyaksikan perlawanan itu di dalam bangunan berhawa dingin serta mengelakkan pendedahan terlalu lama kepada cuaca panas.

Sebahagian besar wilayah Sepanyol ketika ini berdepan suhu luar biasa tinggi bagi bulan Jun berikutan kemasukan udara panas dari Afrika Utara yang merentasi Semenanjung Iberia.

Sebanyak 13 daripada 17 wilayah di Sepanyol berada di bawah amaran cuaca panas tahap jingga, manakala wilayah utara Basque Country yang bersempadan dengan Perancis diletakkan di bawah amaran merah, iaitu tahap tertinggi.

Pihak berkuasa kesihatan turut menasihatkan orang ramai supaya minum air secukupnya, berada di kawasan sejuk, mengurangkan aktiviti luar ketika waktu paling panas dan memberi perhatian khusus kepada golongan berisiko seperti warga emas serta kanak-kanak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top