Los Angeles: Pengendali Iran, Amir Ghalenoei menyifatkan permulaan tanpa kalah pasukannya di Piala Dunia 2026 sebagai satu pencapaian besar yang akan dikenang generasi akan datang selepas terikat tanpa jaringan dengan Belgium dalam aksi Kumpulan G, awal pagi tadi.
Iran yang berdepan pelbagai cabaran di luar padang termasuk isu perjalanan dan visa, berjaya mencatat dua keputusan seri dalam dua perlawanan pertama dan masih berpeluang untuk mara ke pusingan 32 terbaik buat kali pertama.
Ghalenoei memuji ketahanan mental anak buahnya yang berjaya mengikat Belgium, pasukan ranking ke-10 dunia, walaupun berada dalam keadaan persiapan yang tidak ideal.
“Ia adalah satu pencapaian yang besar. Kami tidak kalah dalam dua perlawanan Piala Dunia dengan segala kesukaran yang kami hadapi.
“Kami hanya mempunyai kurang daripada 16 jam untuk menjalani latihan sebelum perlawanan,” katanya.
Menurutnya lagi, situasi berkenaan termasuk sekatan perjalanan dari kem latihan di Mexico memberi kesan terhadap persiapan pasukan, namun pemain tetap menunjukkan semangat luar biasa.
“Pencapaian ini akan tercatat dalam sejarah bola sepak kami dan generasi akan datang akan bercakap mengenainya,” katanya.
Ghalenoei turut mengakui Iran agak bertuah untuk tidak tewas walaupun Belgium beraksi dengan 10 pemain selepas Nathan Ngoy dilayangkan kad merah pada babak kedua.
Sementara itu, beliau menegaskan fokus kini terarah kepada perlawanan terakhir menentang Mesir di Seattle yang akan menentukan nasib Iran dalam saingan kumpulan.
“Kami perlu fokus kepada Mesir. Mereka pasukan yang kuat dengan pemain berkualiti.
“Matlamat utama kami adalah untuk layak ke pusingan seterusnya,” katanya.
Pemain tengah Iran, Alireza Jahanbakhsh turut menyifatkan semangat pasukan sebagai faktor utama yang membantu mereka kekal bersaing dalam kejohanan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




