‘Orang akan kata ini kerja gila’ – Rafizi

‘Orang akan kata ini kerja gila’ – Rafizi

KUANTAN – Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengakui cabaran untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai sesuatu yang dianggap sukar dan luar daripada kebiasaan oleh banyak pihak.

Pemimpin parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, langkah itu akan dilihat sebagai kerja gila kerana parti berkenaan masih baharu dan berdepan semua parti komponen utama dalam pilihan raya tersebut.

“Jadi kalau orang tanya, kamu ini buat kerja gila. Macam mana nak masuk pilihan raya lawan semua orang, duit pun bukan ada sangat dan kemudian parti baru satu bulan.

“Kita akan lawan UMNO, MCA, MIC, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).., silap-silap hari Parti Wawasan pun kita lawan,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Kancil di Pahang di Indera Mahkota di sini pada malam Ahad.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan, cabaran utama ketika ini adalah untuk membina jentera pilihan raya dalam tempoh singkat memandangkan parti itu masih baharu.

Katanya, keadaan itu memaksa mereka bekerja dalam tekanan bagi memastikan setiap gerak kerja dapat disusun dengan baik.

“Esok malam kita akan mula buka dan kita aktifkan satu lagi ciri baharu. Jadi siapa-siapa ahli dan juga orang biasa, dia boleh pilih dekat mana dia nak berkempen, jenis apa dia nak buat, lama mana dia nak buat.

“Kalau empat jam, empat jamlah dan kita akan mulakan di Pilihan Raya Negeri Johor nanti untuk yang ini cabaran kami,” ujarnya.

Rafizi turut menambah, setakat ini Bersama telah menerima sekitar 27,000 keahlian sejak dilancarkan dalam tempoh singkat.

Menurutnya, penyertaan itu turut melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan profesional yang tampil menawarkan diri untuk menyertai gerak kerja parti.

“Jadi kita menjemput seberapa ramai orang untuk tampil menawarkan diri jadi calon dan mereka boleh mendaftar, kemudian melalui prosesnya,” jelasnya.

Rafizi memberitahu, walaupun tempoh masa agak singkat, proses berkenaan tetap diteruskan bagi memastikan calon yang dipilih melalui tapisan yang lebih tersusun.

“Kalau kita nak ubah sesuatu, kita tak boleh guna cara lama. Orang akan kata kita gila, tapi kita nak buktikan ia boleh dibuat,” katanya.

 

Scroll to Top