Muhyiddin duduk tempat baharu hari pertama sidang Dewan Rakyat

Muhyiddin duduk tempat baharu hari pertama sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Meskipun tempat duduk di Dewan Rakyat berubah susulan rombakan susunan blok pembangkang, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap hadir pada hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 pada Isnin.

Bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebelum ini diletakkan bersebelahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, namun kini ditempatkan di Blok E berdasarkan pelan susunan terkini Ahli Parlimen yang dikemas kini Parlimen.

Perubahan tersebut berlaku susulan perkembangan terkini dalam PN yang menyaksikan Muhyiddin tidak lagi menerajui gabungan berkenaan, manakala Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kini memegang peranan sebagai Pengerusi PN.

Bagaimanapun, kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang kekal tidak berubah apabila beliau terus menduduki kerusi barisan hadapan blok pembangkang bersama Ahmad Samsuri dan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Berdasarkan video yang dikongsi akaun TikTok @Friends Of Muhyiddin (FOM), Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu duduk bersebelahan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan daripada Muhyiddin berhubung perkembahangan terbaharu itu.

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini dijadual berlangsung selama 16 hari sehingga 16 Julai depan.

Scroll to Top