am@hmetro.com.my
Georgetown: Lima pekerja syarikat kurier menerima rawatan selepas terdedah kepada tumpahan merkuri daripada bungkusan yang pecah di premis di Jalan Terengganu di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 1.03 tengah hari untuk khidmat nyah cemar sisa.
Katanya, operasi membabitkan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan dibantu Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) BBP Bayan Baru.
“Merkuri sebanyak 500 mililiter (ml) tumpah yang didapati berpunca daripada bungkusan penghantaran pecah ketika proses pengasingan.
“Terdapat lima mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan berusia antara 20 hingga 45 tahun berada di dalam premis ketika kejadian.
“Mereka diberi rawatan awal oleh pasukan kesihatan di lokasi, sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
John berkata, Komander Operasi HAZMAT membuat size up dan mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bersama PPE lengkap melakukan kerja nyah cemar merkuri menggunakan serbuk sulfur dan peluntur.
Katanya, bacaan pH di persekitaran itu juga diambil bagi memastikan keadaan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada 3.06 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




