Pemandu e-hailing tular pukul isteri ditahan

Pemandu e-hailing tular pukul isteri ditahan

mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Polis hari ini menahan pemandu e-hailing yang memukul bekas isterinya di parkir awam di luar Balai Polis Bandar Baru Bangi sehingga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 2.51 petang semalam, malah mengesan satu rakaman video yang tular di Threads dipercayai berkaitan insiden.

“Bertindak atas maklumat pada 6.20 petang tadi, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 20-an, yang juga bekas suami mangsa.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Bandar Baru Bangi pada esok untuk permohonan reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melakukan cedera dan ugutan yang mendatangkan ketakutan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Afiq Rifdi Mohd Ami di talian 01129667474 bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top