mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan pemeriksaan terhadap empat warga asing yang dirakam dalam gambar tular di media sosial ketika Hari Terbuka TUDM di Pangkalan Udara Kuantan, semalam adalah sebahagian daripada prosedur keselamatan standard.
Dalam kenyataan dikeluarkan TUDM berkata, ketika kejadian pasukan keselamatan sedang melakukan rondaan dan mendapati kumpulan berkenaan hampir melepasi had kawasan yang dibenarkan kepada pengunjung awam.
Menurutnya, pemeriksaan kemudian dijalankan bagi memastikan tiada sebarang ancaman keselamatan terhadap pangkalan udara.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur yang boleh menjejaskan keselamatan atau integriti pangkalan.
“Pemeriksaan ke atas peralatan kamera serta telefon bimbit mereka juga tidak menemukan sebarang bahan yang mencurigakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
TUDM menegaskan bahawa pemeriksaan keselamatan secara rawak adalah prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan sepanjang program melibatkan kehadiran orang awam.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan aset strategik, warga pangkalan dan pengunjung sentiasa terpelihara.
Terdahulu, gambar memaparkan empat warga asing diperiksa anggota keselamatan ketika Hari Terbuka TUDM di Pangkalan Udara Kuantan tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.
Harian Metro melaporkan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, kesemua mereka yang juga penuntut dari sebuah universiti di Singapura bukan ditahan seperti ditularkan, sebaliknya menjalani prosedur pemeriksaan biasa ketika Hari Terbuka TUDM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




