Bantu belajar tanpa beban

Bantu belajar tanpa beban

Pendidikan sering dianggap sebagai jalan terbaik untuk mengubah kehidupan seseorang dan keluar daripada kitaran kemiskinan.

Melalui pendidikan, seseorang bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup, malah berpeluang menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Namun, peningkatan kos sara hidup menyebabkan peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi semakin mencabar bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Kehidupan mahasiswa memerlukan perbelanjaan yang tinggi meliputi yuran pengajian, penginapan, makanan, pengangkutan, bahan rujukan serta kemudahan digital seperti komputer riba dan akses internet.

Bagi sesetengah pelajar, kekangan kewangan memaksa mereka bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan harian.

Walaupun usaha tersebut membantu mengurangkan tekanan kewangan, ia boleh menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran.

Malah, ada pelajar yang terpaksa menangguhkan pengajian kerana tidak mampu menanggung kos yang diperlukan.

Keadaan ini menunjukkan bahawa faktor kewangan masih menjadi cabaran utama dalam memastikan akses pendidikan tinggi dapat dinikmati secara menyeluruh.

Dalam situasi ini, zakat pendidikan memainkan peranan sebagai salah satu instrumen ekonomi Islam yang penting dalam membantu pelajar kurang berkemampuan.

Dari perspektif ekonomi Islam, zakat bukan sekadar ibadah yang wajib ditunaikan oleh umat Islam yang memenuhi syarat tertentu, malah berfungsi sebagai mekanisme pengagihan semula kekayaan bagi mewujudkan keseimbangan ekonomi dalam masyarakat.

Melalui sistem kutipan dan agihan yang tersusun, dana zakat dapat disalurkan kepada pelajar IPT yang layak menerima bantuan di bawah kategori asnaf.

Zakat mencerminkan keindahan sistem ekonomi Islam yang menekankan keadilan sosial dan tanggungjawab bersama dalam membantu golongan yang memerlukan.

Dana zakat diagihkan kepada lapan golongan asnaf sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah at-Taubah ayat 60.

Dalam konteks pendidikan, bantuan zakat membantu pelajar meneruskan pengajian tanpa dibebani masalah kewangan yang serius serta mengurangkan jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin.

Islam juga meletakkan ilmu pengetahuan pada kedudukan yang sangat tinggi.

Sehubungan itu, usaha membantu pelajar menuntut ilmu melalui dana zakat bukan sahaja memenuhi tuntutan sosial, malah selari dengan matlamat syariah yang menggalakkan pembangunan modal insan berkualiti.

Antara manfaat utama zakat pendidikan ialah membantu meringankan beban kewangan pelajar melalui pembayaran yuran pengajian, bantuan sara hidup, pembelian buku rujukan, peralatan pembelajaran serta kemudahan digital seperti komputer riba.

Bantuan ini membolehkan pelajar memberi tumpuan yang lebih baik terhadap akademik.

Pada masa sama, zakat pendidikan turut membantu mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan kerana bantuan zakat tidak perlu dibayar semula.

Keadaan ini memberikan kelegaan kepada pelajar dan keluarga mereka serta mengurangkan tekanan kewangan selepas menamatkan pengajian.

Dari sudut pembangunan ekonomi, zakat pendidikan merupakan satu bentuk pelaburan sosial yang memberikan manfaat jangka panjang kepada negara.

Pelajar yang berjaya menamatkan pengajian mempunyai peluang lebih besar memperoleh pekerjaan yang baik, meningkatkan taraf hidup serta membantu keluarga keluar daripada kitaran kemiskinan.

Dalam jangka panjang, mereka juga berpotensi menjadi pembayar zakat yang menyumbang kepada dana zakat negara bagi membantu generasi pelajar yang lain.

Di Malaysia, institusi zakat negeri sudah memainkan peranan yang aktif melalui bantuan awal pengajian, dermasiswa zakat, bantuan komputer riba, bantuan sara hidup dan bantuan kecemasan kewangan.

Bagaimanapun, pelaksanaan zakat pendidikan masih berdepan cabaran seperti peningkatan jumlah permohonan bantuan serta kos pendidikan dan kos sara hidup yang terus meningkat.

Seiring perkembangan teknologi, pengurusan zakat perlu dipertingkatkan melalui penggunaan sistem digital lebih cekap dan mesra pengguna.

Kesimpulannya, zakat pendidikan merupakan instrumen ekonomi Islam yang penting dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang ekonomi.

Bantuan yang diberikan bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan pelajar, malah menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing.

Oleh itu, zakat pendidikan bukan sekadar bantuan kebajikan, tetapi pelaburan strategik untuk masa depan ummah dan negara.

Dr Jaharudin Padli adalah Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Dayang Nur Kamalia Aziz penuntut tahun 2 Fakulti Perniagaan Ekonomi & Pembangunan Sosial, UMT

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top