PH yakin Johor lebih maju jika diberi mandat pada PRN – Amirudin

PH yakin Johor lebih maju jika diberi mandat pada PRN – Amirudin

Pakatan Harapan (PH) menyatakan kesediaan untuk membawa pentadbiran yang lebih baik di Johor sekiranya mendapat kepercayaan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengarah Jentera PRN Johor PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, gabungan itu tidak berniat untuk menggugat kestabilan yang sedia ada, sebaliknya mahu memperkukuh lagi pembangunan negeri agar Johor terus berkembang dan lebih cemerlang.

Menurut beliau, meskipun Johor telah mencatatkan pencapaian memberangsangkan dalam pelbagai bidang, masih terdapat ruang yang boleh dipertingkatkan terutama melibatkan aspek ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan yang lebih seimbang di setiap daerah.

“Kita ingin mentadbir Johor dengan lebih baik. Kita bukan datang hendak mengacau atau mengganggu, tetapi kita datang untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang lebih bersinar walaupun negeri ini sudah mencapai prestasi yang baik sebelum ini.
“Saya yakin jika diberikan amanah dan kepimpinan kepada PH, kita mampu meningkatkan lagi nilai ekonomi Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PRN Johor bagi PH di Bukit Gambir, Tangkak malam tadi.

Foto arkib: Utusan

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, Johor memiliki 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jumlah yang sama seperti Selangor, sekali gus meletakkan negeri itu sebagai antara negeri yang berpotensi besar untuk muncul sebagai yang paling maju di Malaysia.

Beliau berkata, antara keutamaan PH ialah memastikan rakyat Johor menikmati lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang lebih baik supaya mereka tidak lagi perlu mencari rezeki di negara jiran.

“Anak Johor tidak perlu ke Tambak Johor setiap hari untuk mencari rezeki. Kita akan pastikan lebih banyak peluang ekonomi diwujudkan dalam negeri ini,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menegaskan pembangunan negeri perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu di Johor Bahru sahaja.

Katanya, kawasan lain termasuk Mersing, Kota Tinggi serta daerah luar bandar juga perlu diberi perhatian sewajarnya agar menikmati kemudahan infrastruktur dan pembangunan yang setara.

“Kita mahu memastikan daerah-daerah lain turut maju dan mendapat keadilan dari segi infrastruktur serta pembangunan sebagaimana yang dilaksanakan di negeri-negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya lagi.

Mengulas mengenai tema kempen PRN Johor, Amirudin berkata PH tampil dengan slogan “Johor Forward” yang mengangkat aspirasi gaji lebih tinggi, peluang ekonomi yang lebih luas serta keadilan pembangunan untuk seluruh rakyat Johor.

“Kita sudah buktikan keupayaan melalui prestasi menteri-menteri PH di peringkat Persekutuan. Jika diberikan peluang pada PRN nanti, kita akan mentadbir Johor dengan lebih baik,” ulas Amirudin.

Sumber: Sinar Harian (Nor Azura Md Amin)

Scroll to Top