Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu berlangsung secara adil tanpa campur tangan mana-mana ‘pihak’ lain yang boleh menjejaskan amalan demokrasi negara.
Kalah menang bukan persoalan
Menerusi kenyataan yang dibuat, persaingan politik seharusnya berlaku antara parti-parti yang bertanding dan bukannya dipengaruhi oleh faktor luar yang boleh mencemarkan proses demokrasi.
“Sama ada kita menang atau mereka kalah, itu bukan persoalannya. Yang penting pertandingan mesti berlaku antara parti dengan parti.
“Jangan ubah cara demokrasi negara. Biarlah parti-parti politik bergelut untuk memerintah atau menjadi pembangkang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambir.
Turut hadir ketika itu Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Sebarang bentuk campur tangan sepatutnya tak boleh digunakan
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menyatakan sebarang bentuk campur tangan tidak sepatutnya digunakan untuk mengubah landskap demokrasi negara hanya bagi memenuhi kepentingan politik atau individu tertentu.
Beliau turut menegaskan bahawa sistem demokrasi perlu terus dipertahankan dengan memberi peluang kepada parti-parti politik bersaing secara sihat sama ada untuk membentuk kerajaan mahupun memainkan peranan sebagai pembangkang.
Dalam perkembangan sama, Mat Sabu mengingatkan semua parti komponen dalam Pakatan Harapan supaya menerima keputusan rundingan yang telah dipersetujui dan bergerak sebagai satu pasukan menjelang PRN Johor.
Menurutnya, proses pembahagian kerusi bukanlah sesuatu yang mudah, namun berjaya diselesaikan menerusi rundingan serta persefahaman antara parti-parti dalam gabungan tersebut.
Beliau turut menyeru agar semua calon daripada Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP diberikan sokongan tanpa mengira parti yang bertanding di sesuatu kawasan demi memastikan kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya negeri itu.
Sumber: Facebook Mohamad Sabu




