JPN Perak beri kerjasama penuh siasatan kes pelajar terjatuh bangunan

JPN Perak beri kerjasama penuh siasatan kes pelajar terjatuh bangunan

IPOH: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan berhubung insiden seorang pelajar lelaki yang dilaporkan terjatuh dari sebuah bangunan dalam kawasan sekolah, di sini semalam.

JPN Perak dalam kenyataannya memaklumkan, siasatan dalaman turut dilaksanakan bagi meneliti setiap perkara yang berkaitan dengan insiden berkenaan.

“Kes ini sedang berada dalam siasatan pihak polis dan JPN Perak memberi kerjasama penuh kepada proses siasatan yang sedang berjalan,” katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, pihaknya prihatin terhadap kejadian yang menimpa pelajar berkenaan yang kini sedang menerima rawatan di hospital.

Katanya, pihak jabatan mendoakan agar pelajar terbabit dikurniakan kesembuhan segera manakala keluarganya diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut.

“JPN Perak telah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kebajikan dan
bantuan terbaik kepada keluarga pelajar terbabit.

“Selain itu, sokongan psikososial turut diberi kepada warga sekolah yang terkesan dengan kejadian berkenaan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta menghormati sensitiviti keluarga yang sedang berdepan situasi sukar ketika ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah di sini. – UTUSAN

Scroll to Top