PRN Johor: Anwar mahu PH kempen secara berhemah, perlu kerja keras

PRN Johor: Anwar mahu PH kempen secara berhemah, perlu kerja keras

am@hmetro.com.my

Tangkak: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan kepimpinan dan jentera gabungan itu berkempen secara berhemah pada Pilihan Paya Negeri (PRN) Johor bulan depan.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, setiap persoalan perlu dijawab dengan baik serta perlu bekerja keras untuk memastikan PH merekod kemenangan di Johor.

“Kemenangan ini adalah penting untuk PH bagi menjamin kestabilan dan juga hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan.

“Jadi, kita boleh menangkan di Johor tapi perlu bekerja keras, jawab dengan berhemah…dengan cara yang baik.

“Apa yang kita nak pilih ini adalah wakil rakyat yang mementingkan kepentingan rakyat Johor.

“Saya tidak mahu perlawanan apatah lagi dengan rakan kita yang mana parti mereka dalam kerajaan Persekutuan. Pening saya.

“Saya ini ketua…anak-anak duduk bergaduh…yang pening bapa. Dalam lama mesyuarat ok bila keluar (mesyuarat) bergaduh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Johor di Bukit Gambir, di sini pada malam ini.

Pada masa sama, beliau turut mengulangi bahawa PH tidak sedikit pun gentar memasuki pertarungan kali ini memandangkan semua calon gabungan terbabit terdiri anak jati Johor.

“Semua calon kita ini, saya hargai kerana beliau dengan sendiri mematahkan tohmahan. Insya Allah PH akan menang. Menang dengan maksud membela nasib rakyat,” katanya.

Malam tadi, Anwar mengumumkan 56 calon PH yang terdiri daripada kira-kira 90 peratus muka baharu bertanding pada PRN kali ini.

Selain itu, dua ahli Parlimen PH iaitu Suhaizan Kayat dari Parlimen Pulai dan Onn Abu Bakar di Batu Pahat turut bertanding di Dewan Undanga Negeri (DUN) kali ini.

Suhaizan mewakili Parti Amanah Negara (AMANAH) dicalonkan di DUN Larkin manakala Onn dari PKR di DUN Senggarang.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 11 Julai 2026 sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 bagi negeri Johor.

Hari penamaan calon bagi Johor ditetapkan pada Sabtu ini manakala hari mengundi awal pada 7 Julai ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top