Hasil kerja sambilan, Syed Saddiq sumbang RM115,000 bantu orang Muar

Hasil kerja sambilan, Syed Saddiq sumbang RM115,000 bantu orang Muar

MUAR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM115,000 kepada masyarakat di Muar hasil pendapatan yang diperoleh daripada kerja sambilan terbaharunya.

Syed Saddiq berkata, keseluruhan jumlah tersebut disumbangkan terus bagi membantu golongan yang memerlukan di kawasan Parlimen Muar.

“Alhamdulillah, dapat kerja sambilan dan shooting baharu lagi. Saya sumbangkan terus RM115,000 ke Muar.

“Beli 1,000 bakul makanan dan 30 laptop,” katanya menerusi Instagram pada Selasa.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut memaklumkan, rutin hariannya bermula dari pagi hingga petang di Parlimen sebelum meneruskan kerja sambilan pada waktu malam.

Sebelum ini, Syed Saddiq pernah memaklumkan bahawa sebahagian pendapatan yang diperoleh menerusi aktiviti komersial dan kerja sambilan akan disalurkan bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar, termasuk menerusi penyediaan bantuan makanan serta bantuan pendidikan.

Scroll to Top