Karachi: Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif berkata Amerika Syarikat (AS) dan Iran akan membincangkan isu nuklear, peluru berpandu balistik serta aset Iran yang dibekukan dalam rundingan peringkat teknikal bagi mencapai perjanjian kekal, susulan “kejayaan” rundingan di Switzerland.
“Kedua-dua pihak (kini) akan membincangkan isu nuklear, aset yang dibekukan, dan isu peluru berpandu balistik dalam tempoh 60 hari akan datang.
“Kami berharap MoU ini akan bertukar menjadi perjanjian jangka panjang dalam tempoh berkenaan,” kata Sharif kepada ahli parlimen semasa berucap di Perhimpunan Kebangsaan, lapor Anadolu Ajansi.
Beliau merujuk kepada Memorandum Persefahaman (MoU) Islamabad yang ditandatangani oleh AS dan Iran pada 17 Jun.
Pakistan turut menandatangani MoU itu selaku orang tengah.
Kementerian Luar Iran pada Selasa menyatakan keupayaan peluru berpandu Tehran tidak dibincangkan dalam rundingan dengan AS di Switzerland, selain menolak untuk membenarkan pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melawat kemudahan nuklear yang menjadi sasaran semasa perang AS-Israel terhadap Iran.
Jurucakap Kementerian Luar Esmaeil Baghaei berkata program peluru berpandu Iran tidak pernah dimasukkan dalam rundingan dengan Washington.
Baqaei juga berkata Tehran tidak berhasrat untuk membenarkan pemeriksa IAEA mengakses kemudahan nuklear yang diserang oleh AS dan Israel.
Sharif seterusnya berkata kemajuan “bersejarah” telah dicapai dalam rundingan antara kedua-dua negara yang bertelagah itu, yang bersetuju dengan pelan hala tuju untuk bergerak ke hadapan dalam tempoh 60 hari akan datang.
Rundingan antara Iran dan AS di Burgenstock, Switzerland, berakhir awal Isnin dengan persetujuan mengenai beberapa mekanisme yang bertujuan memajukan rundingan ke arah perjanjian penutup di bawah MoU Islamabad.
Pertemuan itu diadakan dengan pengantaraan Pakistan dan Qatar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




