am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi membabitkan minyak diesel dan petrol berjaya dibongkar Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menerusi dua operasi berasingan di Semporna dan Kota Kinabalu yang membawa kepada rampasan bernilai lebih RM526,000.
Dalam operasi dijalankan di bawah Op Taring Landai Khas itu, enam individu termasuk dua warga asing turut ditahan bagi membantu siasatan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi pertama dijalankan pada 21 Jun lalu di kawasan perumahan atas air Kampung Mesra, Semporna.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan dua bot bersama 277 jerikin berisi minyak petrol yang dipercayai disimpan tanpa kebenaran sah.
“Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi di Semporna dianggarkan berjumlah RM132,651.
“Rampasan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan untuk pasaran tertentu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi kedua pula dilaksanakan pada 22 Jun di sebuah gudang di Taman Dai Ming Baru, di sini.
Katanya, serbuan itu membawa kepada penemuan 17,250 liter minyak diesel bersubsidi yang disimpan di dalam lapan unit tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) dan sebuah skid tank.
“Turut dirampas beberapa kenderaan serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk memindahkan minyak diesel.
“Dalam serbuan sama, enam individu terdiri daripada empat warga tempatan dan dua warga asing berusia antara 25 hingga 57 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua operasi itu dianggarkan mencecah RM526,533.50.
Ahmad Amri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyimpanan dan pemilikan barang kawalan tanpa kebenaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




