Koulibaly akui kesilapan jerat Senegal

Koulibaly akui kesilapan jerat Senegal

New Jersey: Kapten Senegal, Kalidou Koulibaly mengakui melakukan beberapa kesilapan besar yang menyumbang kepada kekalahan 2-3 pasukannya kepada Norway dalam aksi Kumpulan I Piala Dunia 2026, sekali gus meletakkan wakil Afrika itu di ambang penyingkiran awal.

Kekalahan itu menyaksikan Norway mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya bersama Perancis, manakala Senegal yang dianggap antara pencabar berbahaya sebelum kejohanan masih belum mengutip sebarang mata.

Mereka wajib menewaskan Iraq dalam aksi terakhir kumpulan di Toronto pada Jumaat bagi mengekalkan peluang mara sebagai antara pasukan tangga ketiga terbaik.

“Di peringkat tertinggi, bola sepak ditentukan oleh perkara-perkara kecil. Pasukan yang melakukan kesilapan paling sedikit akan menang. Hari ini saya melakukan banyak kesilapan dan ia amat mengecewakan.

“Standard di Piala Dunia sangat tinggi dan tiada ruang untuk melakukan kesilapan. Kami melakukan terlalu banyak kesilapan untuk berharap dapat memenangi perlawanan ini,” kata Koulibaly.

Pertahanan berusia 35 tahun itu gagal mengeluarkan bola dengan kemas sebelum penjaga gol, Edouard Mendy tidak dapat menghalang rembatan kencang pemain gantian Norway, Marcus Pedersen yang meletakkan lawan di depan menjelang tamat babak pertama.

Koulibaly yang turut dikritik selepas kekalahan kepada Perancis dalam perlawanan pembukaan, sekali lagi menjadi sasaran apabila dianggap bersalah terhadap dua gol yang dijaringkan penyerang Norway, Erling Haaland pada separuh masa kedua.

Walaupun bergelut di benteng pertahanan, Senegal masih mampu mengancam menerusi serangan balas dengan Ismaila Sarr menjaringkan dua gol termasuk satu jaringan pada masa kecederaan.

“Mengejar permainan memang sukar. Dari sudut mental, pasukan memberikan reaksi yang baik. Walaupun berdepan pelbagai kesukaran, pemain berusaha sedaya upaya untuk mencari gol penyamaan tetapi kami tidak berjaya.

“Kami perlu terus percaya sehingga wisel penamat. Sekarang kami perlu fokus kepada perlawanan besar menentang Iraq dan cuba meraih kemenangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top