Marquez sambung kontrak dengan Ducati sehingga 2028

Marquez sambung kontrak dengan Ducati sehingga 2028

Milan: Juara bertahan MotoGP, Marc Marquez melanjutkan kontraknya bersama Ducati sehingga penghujung musim 2028, umum pengeluar motosikal dari Itali itu, hari ini.

Tahun lalu, Marquez meraih gelaran dunia ketujuh dalam kelas elit perlumbaan motosikal, sekali gus menyamai pencapaian seteru utamanya, Valentino Rossi pada musim pertamanya bersama pasukan kilang Ducati.

Pelumba berusia 33 tahun itu mengumpul rekod 545 mata pada musim 2025 menerusi 11 kemenangan Grand Prix dan 14 kemenangan dalam perlumbaan pecut.

“Saya terus berlumba kerana mencintai sukan ini dan mahu mencapai sasaran yang lebih besar. Saya yakin di sinilah saya mampu mencapainya,” kata Marquez dalam satu kenyataan.

Ketika ini, beliau ketinggalan 40 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Marco Bezzecchi walaupun memenangi MotoGP Republik Czech pada Ahad lalu, kemenangan keduanya berturut-turut selepas terlepas dua perlumbaan GP akibat patah kaki.

Pembaharuan kontrak yang sudah lama dijangka itu hadir pada saat penting buat sukan berkenaan yang bakal memasuki era baharu menerusi pelaksanaan peraturan teknikal disemak semula bermula 2027.

Antara perubahan itu termasuk pengurangan kapasiti enjin kepada 850cc, aerodinamik yang lebih ringkas serta penggunaan tayar baharu daripada Pirelli.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top