Vancouver: Pertahanan Switzerland, Manuel Akanji memberi amaran bahawa pasukannya tidak akan memberikan laluan mudah kepada Kanada dalam aksi penentuan Kumpulan B Piala Dunia 2026 di BC Place, esok.
Kanada yang juga tuan rumah bersama kejohanan hadir dengan keyakinan tinggi selepas membelasah Qatar 6-0 pada perlawanan terdahulu, namun Akanji percaya Switzerland memiliki kualiti untuk mencuri kemenangan.
Kedua-dua pasukan mengumpul empat mata selepas dua perlawanan dengan Kanada berada di puncak kumpulan menerusi kelebihan jaringan.
Keputusan seri sudah memadai untuk memastikan Kanada menamatkan saingan sebagai juara kumpulan selain mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik buat kali pertama dalam sejarah mereka.
Bagaimanapun, Switzerland yang memulakan kempen sebagai pasukan pilihan Kumpulan B turut mempunyai misi tersendiri apabila hanya memerlukan sekurang-kurangnya satu mata untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
“Kami tahu mereka mahu menang, tetapi kami juga mahu menang di sini.
“Kami tidak akan memudahkan tugas mereka. Kami akan memberikan yang terbaik dan saya fikir jika kami mempamerkan prestasi terbaik, kami mampu menang,” kata Akanji.
Pemain pertahanan Manchester City itu bagaimanapun mengakui Kanada juga bukan lawan yang boleh dipandang mudah.
“Mereka juga tidak akan memudahkan tugas kami, jadi kami perlu bersedia sepenuhnya,” katanya.
Switzerland memiliki rekod memberangsangkan di pentas Piala Dunia apabila berjaya melepasi peringkat kumpulan dalam lima daripada enam penampilan terakhir mereka.
Namun, pasukan itu sering terkandas di pusingan 16 terbaik termasuk tewas kepada Portugal pada edisi 2022 di Qatar.
Mereka bagaimanapun menunjukkan peningkatan apabila mara sehingga suku akhir Kejohanan Eropah 2024.
Menurut Akanji, kekuatan utama Switzerland selama ini adalah semangat berpasukan dan disiplin tinggi yang dipamerkan di atas padang.
“Kekuatan kami sentiasa terletak pada kerjasama sebagai satu pasukan.
” Kami tahu kami tidak mempunyai tiga atau empat pemain bertaraf 10 terbaik dunia seperti sesetengah negara lain, jadi kami perlu bergantung kepada kekuatan kolektif.
” Ia sukan berpasukan dan kami sentiasa cuba memperbaiki kelemahan yang ada. Saya harap kali ini kami mampu melangkah lebih jauh berbanding sebelum ini, tetapi perjalanan masih panjang.
” Konsisten amat penting dan kami perlu terus melakukan perkara yang betul sambil memperbaiki kekurangan yang ada,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




