2.85 juta tonton Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat

2.85 juta tonton Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat

New York: Piala Dunia 2026 terus mencatat sambutan luar biasa apabila kehadiran penonton dijangka memecahkan rekod sepanjang zaman meskipun harga tiket mencecah tahap tertinggi dalam sejarah kejohanan itu.

Berdasarkan analisis data Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), lebih 2.85 juta penonton sudah hadir menyaksikan 44 perlawanan setakat ini dengan purata kapasiti stadium dipenuhi sehingga 99.6 peratus.

Jumlah itu meletakkan edisi kali ini di landasan tepat untuk mengatasi rekod kehadiran 3.6 juta penonton yang dicatat ketika Amerika Syarikat menjadi tuan rumah pada 1994.

Pakar ekonomi sukan dari Universiti San Francisco, Dan Rascher berkata, sambutan luar biasa itu bukan semata mata kerana populariti bola sepak di Amerika Syarikat, sebaliknya disebabkan minat rakyat negara itu terhadap acara berskala besar.

“Rakyat Amerika suka acara besar. Mereka mahu menjadi sebahagian daripada detik penting dan bersejarah,” katanya.

Edisi 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico turut menjadi Piala Dunia terbesar dalam sejarah dengan 104 perlawanan berbanding 64 sebelum ini.

Selain kapasiti stadium yang lebih besar, kadar pengisian tempat duduk juga antara yang tertinggi pernah direkodkan sejak Piala Dunia 2006 di Jerman.

Menariknya, sambutan hebat itu berlaku walaupun harga tiket meningkat mendadak selepas FIFA memperkenalkan sistem harga dinamik yang berubah mengikut permintaan pasaran.

Sebagai contoh, tiket saat akhir untuk aksi Paraguay menentang Australia dijual pada harga AS$450 (RM1,910).

Di pasaran jualan semula pula, syarikat pemantau TicketData melaporkan harga tiket paling murah bagi sesetengah perlawanan mencecah purata AS$798 (RM3,390).

FIFA bagaimanapun mempertahankan strategi itu dengan menyatakan harga yang ditawarkan selaras dengan permintaan semasa dan amalan industri sukan global.

Menurut badan induk bola sepak dunia itu, sebanyak 130,000 tiket turut dijual pada harga AS$60 (RM255) bagi memastikan lebih ramai peminat berpeluang menyaksikan kejohanan berprestij itu.

Profesor pengurusan sukan Universiti South Carolina, John Grady berkata peminat Amerika sanggup berbelanja besar untuk acara sukan bertaraf premium.

“Pengguna Amerika sanggup membayar lebih jika mereka melihat sesuatu acara itu sebagai produk sukan eksklusif dan bernilai tinggi,” katanya.

Selain faktor kejohanan itu sendiri, kehadiran bintang ternama dunia seperti Lionel Messi dan Kylian Mbappe turut menjadi tarikan utama kepada peminat.

FIFA sebelum ini mengunjurkan pendapatan melebihi AS$3 bilion (RM12.7 bilion) menerusi jualan tiket dan pakej hospitaliti, namun beberapa pakar percaya jumlah sebenar boleh mencecah AS$4 bilion (RM17 bilion).

Angka itu jauh mengatasi pendapatan kira kira AS$949 juta (RM4 bilion) yang direkodkan pada Piala Dunia 2022 di Qatar.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai sekatan perjalanan dan isu imigresen yang diperkenalkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sambutan peminat dari seluruh dunia tetap memberangsangkan.

FIFA turut memaklumkan lebih 3.5 juta pengunjung sudah menghadiri festival peminat rasmi setakat Isnin lalu.

Penganjur percaya kejayaan Piala Dunia kali ini bukan sahaja memberi manfaat kepada bola sepak, malah menjadi petanda positif menjelang penganjuran 2028 Summer Olympics.

“Ini petunjuk bahawa Amerika Syarikat mampu menganjurkan acara sukan global dengan jayanya dan memberikan pengalaman hebat kepada peminat dari seluruh dunia,” kata Grady.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top