7 individu ditahan bantu siasatan kes kes gaduh hingga 2 lelaki parah di Jasin

7 individu ditahan bantu siasatan kes  kes gaduh hingga 2 lelaki parah di Jasin

am@hmetro.com.my

Jasin: Polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang menyebabkan dua lelaki parah dan tidak sedarkan diri dalam kejadian di Jalan Gapam, di sini, semalam.

Suspek berusia antara 20 hingga 29 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Jasin dan Melaka Tengah hasil siasatan susulan laporan yang dibuat oleh bapa salah seorang mangsa.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bersama Cawangan D7 JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menjalankan operasi tangkapan pada 23 Jun lalu.

Menurutnya, tangkapan dibuat antara jam 3 petang hingga 6.50 petang di beberapa lokasi termasuk di Taman Seri Krubung, Taman Semabok Perdana dan Bemban.

“Hasil operasi berjaya menahan enam lelaki dan seorang wanita Melayu yang dipercayai terbabit dalam kes yang sedang disiasat.

“Hasil soal siasat awal mendapati semua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut bersama seorang lagi individu yang masih bebas dan dikenali sebagai Alif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Jasin untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 326 dan 148 Kanun Keseksaan.

Menurut Lee, siasatan mendapati dua daripada suspek termasuk wanita yang bekerja sebagai penyambut tetamu hotel, masing-masing mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap semua suspek mendapati mereka negatif dadah.

“Semua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Jasin dan permohonan reman terhadap mereka akan dibuat di Mahkamah Majistret Jasin hari ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.

Menurutnya, menerusi tangkapan yang dijalankan, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes termasuk lima telefon bimbit pelbagai jenama, beberapa helai pakaian, kasut, selipar dan sebatang kayu dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top