Vancouver: Pengendali Kanada, Jesse Marsch menegaskan pasukannya tidak akan turun dengan misi sekadar memburu keputusan seri ketika berdepan Switzerland dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Dunia, awal pagi esok.
Kanada hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan status juara kumpulan dan memastikan mereka terus beraksi di laman sendiri pada pusingan kalah mati.
Bagaimanapun, Marsch menolak pendekatan berhati-hati dan percaya cara terbaik untuk mendapatkan keputusan positif adalah dengan memburu kemenangan.
“Saya rasa semua pemain dan jurulatih pernah berada dalam situasi seperti ini apabila keputusan seri sudah mencukupi.
“Tetapi cara paling buruk untuk mendapatkan keputusan seri adalah dengan bermain untuk seri,” katanya.
Menurut Marsch, pasukannya perlu turun dengan mentaliti mahu menang sebelum menggunakan pendekatan taktikal tertentu pada penghujung perlawanan jika keadaan memerlukan.
Kanada yang mengumpul empat mata daripada dua perlawanan terpaksa melupakan khidmat Ismael Kone selepas pemain itu mengalami patah kaki ketika kemenangan besar 6-0 ke atas Qatar minggu lalu.
Namun, mereka menerima berita baik apabila bintang utama Alphonso Davies dijangka kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan hamstring yang menyebabkan dia terlepas dua perlawanan awal.
Switzerland yang turut mengumpul empat mata masih belum mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik dan berazam mencipta kemenangan ke atas salah satu tuan rumah kejohanan.
Jurulatih Switzerland, Murat Yakin berkata kekuatan utama pasukannya adalah semangat berpasukan dan bukannya bergantung kepada bintang tertentu.
“Kekuatan kami sentiasa datang daripada cara kami bermain sebagai satu pasukan.
“Kami tahu kami tidak mempunyai tiga pemain terbaik dunia seperti negara lain, jadi kami perlu bergantung kepada kekuatan kolektif,” katanya.
Switzerland membuktikan kedalaman skuad mereka ketika menewaskan Bosnia dan Herzegovina 4-1 dalam aksi terdahulu dengan pemain gantian Johan Manzambi dan Ruben Vargas memberi impak besar selepas dimasukkan pada babak kedua.
Pertembungan di Vancouver dijangka menentukan pasukan yang muncul juara kumpulan, sekali gus memperoleh laluan lebih baik menjelang pusingan kalah mati.
Bagi Kanada, kemenangan bukan sahaja menjamin kedudukan teratas tetapi juga meneruskan momentum cemerlang mereka dalam usaha mencipta sejarah pada penampilan kedua di Piala Dunia sejak 1986.
© New Straits Times Press (M) Bhd




