Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memaklumkan harga durian di peringkat ladang mengalami penurunan berikutan lambakan bekalan sepanjang musim puncak pengeluaran yang berlangsung dari Jun hingga Ogos tahun ini.
Tawar harga lantai RM2.70

Keadaan itu berlaku apabila hampir semua negeri mengeluarkan hasil durian secara serentak, selain peningkatan pengeluaran yang didorong oleh faktor cuaca yang menggalakkan.
Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi) FAMA, Faisal Iswardi Ismail berkata, situasi berkenaan memberi tekanan kepada pekebun meskipun pengguna mendapat manfaat melalui harga jualan yang lebih rendah.
Menurut beliau, harga durian kampung di peringkat ladang ketika ini berada dalam lingkungan RM1 hingga RM4 sekilogram bergantung kepada lokasi dan jumlah bekalan, manakala varieti premium seperti Musang King turut mencatatkan penyusutan harga yang ketara.
“Bagi Musang King, harga runcit lazimnya sekitar RM45 hingga RM60 sekilogram mengikut gred. Namun ketika lawatan ke Bentong baru-baru ini, saya menemui Musang King dijual serendah RM5 sekilogram,” katanya hari ini di Bangunan FAMA Point, Bandar Baru Selayang, Selangor.
Bagi membantu mengurangkan risiko kerugian pekebun, FAMA melaksanakan mekanisme harga lantai RM2.70 sekilogram untuk durian kampung menerusi program kontrak pemasaran (forward agreement), khususnya apabila harga pasaran jatuh di bawah paras tersebut.
Beliau berkata, setakat ini tiada harga lantai ditetapkan bagi varieti premium seperti Musang King dan Black Thorn, namun cadangan itu boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Dalam perkembangan sama, FAMA memperhebat usaha penjenamaan dan sistem kebolehkesanan (traceability) durian Malaysia bagi menjaga reputasi Musang King di pasaran antarabangsa, terutama di China.
Katanya, penggunaan nama “Musang King Malaysia” oleh pihak tertentu di luar negara menunjukkan keperluan untuk memperkukuhkan penjenamaan produk itu, termasuk melalui elemen Petunjuk Geografi (GI).
“FAMA bersama agensi berkaitan dan pemain industri telah melaksanakan sistem kebolehkesanan menggunakan kod QR yang membolehkan pengguna mengesahkan asal usul serta ketulenan produk.
“Ini antara usaha untuk melindungi imej durian Musang King Malaysia di pasaran China, selain menjadi langkah awal ke arah pelaksanaan sistem lebih menyeluruh merangkumi kebolehkesanan, penggredan, pembungkusan dan pelabelan (GPL) bagi membezakan durian Malaysia daripada produk negara pesaing,” jelasnya.
Pada masa sama, FAMA terus menggunakan Portal Pengawasan serta Intervensi Bekalan dan Pemasaran Agromakanan (SISDA) bagi memantau bekalan serta aktiviti pemasaran secara berterusan demi membantu menstabilkan pasaran.
Bagi tahun ini, agensi berkenaan mengunjurkan pembelian buah-buahan bermusim termasuk durian sebanyak 300 tan metrik (MT) melalui pusat operasinya dengan nilai keseluruhan RM2.7 juta.
Sehingga kini, FAMA telah membeli 142.7 MT durian secara langsung, manakala pembelian tidak langsung menerusi usahawan pemasar FAMA merekodkan 1,099 MT dengan nilai jualan RM3.28 juta.
Artikel lain: 60 tahun FAMA: Dari pasar tani ke inovasi digital, petani terus diutamakan!
Dalam usaha memperluaskan pasaran eksport, FAMA akan menganjurkan program Durian Paradise dan Durian Fiesta di Singapura pada Ogos depan bagi mempromosikan kira-kira tujuh MT durian premium Malaysia termasuk Musang King, Black Thorn, Klon dan Kampung.
Program tersebut dijangka menjana jualan langsung bernilai RM1.5 juta selain memperkukuhkan lagi kedudukan durian Malaysia dalam pasaran Singapura.
Langkah ini mencerminkan komitmen FAMA dalam memastikan industri durian negara terus berkembang mampan, berdaya saing dan mampu meningkatkan pendapatan pekebun serta usahawan tempatan.




