Buat kerana amanah! Kerusi ini sementara, tak mahu dikenang apa-apa – Onn Hafiz

Buat kerana amanah! Kerusi ini sementara, tak mahu dikenang apa-apa – Onn Hafiz

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengakui beliau sentiasa menyedari bahawa jawatan yang disandang ketika ini hanyalah sementara dan berharap dapat meninggalkan khidmat yang ikhlas sehingga memperoleh kemaafan daripada rakyat Johor suatu hari nanti.

Menurutnya, amanah memimpin negeri bukan medan untuk mengejar populariti atau membina legasi peribadi, sebaliknya satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti dan rasa takut kepada Allah SWT.

“Saya sedar dan insaf, kerusi yang saya duduk ini semuanya sementara.
“Saya sebenarnya tidak mahu dikenang untuk apa-apa pun.
“Sebab saya buat semua ini bukan untuk legasi saya sendiri.
“Saya buat ini kerana ini adalah amanah dan tanggungjawab yang sangat berat.
“Sebagai seorang pemimpin yang beragama Islam, saya tahu jika fitnah itu dosa besar dan akhirnya nanti, di akhirat saya bukan sahaja kena menjawab dengan Tuhan, tetapi orang yang difitnah itu juga perlu memaafkan saya terlebih dahulu untuk saya selamat,” katanya menerusi temu bual eksklusif bersama MalaysiaGazette.

Beliau berkata, rasa tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan rakyat serta kesedaran mengenai pembalasan di akhirat menjadi prinsip utama dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil sepanjang memimpin negeri.

“Saya sebagai manusia biasa, saya nak cuba elak perkara-perkara itu.
“Saya tidak sanggup nak lakukan benda-benda yang haram yang akhirnya memaksa saya menjawab di hadapan Allah SWT nanti,” ujarnya.

Dalam temu bual sama, Onn Hafiz turut berkongsi pengalaman yang memberi kesan mendalam kepadanya ketika pemergian bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah.

Katanya, beliau tersentuh apabila melihat ramai rakyat menzahirkan kemaafan terhadap Allahyarham menerusi komen yang ditinggalkan di media sosial.

“Ramai yang pergi ziarah Allahyarham. Ketika itu, saya ada terbaca komen-komen di Facebook di mana ramai rakyat yang menulis ‘Saya maafkan Pak Lah, saya ampunkan Pak Lah’.
“Rentasan kata-kata itu membuatkan saya terus berdoa, sekiranya tiba satu hari nanti waktu saya pula yang sudah tiada (meninggal dunia atau berundur), itulah juga ucapan dan apa yang akan dikatakan oleh seluruh Bangsa Johor kepada diri saya,” katanya.

Onn Hafiz yang juga cicit kepada pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar mengakui dirinya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kekurangan sebagai manusia biasa.

Artikel lain: Ahmad Zahid nafi wujud arahan halang Onn Hafiz masuk FELDA

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Johor dapat terus memelihara keharmonian Bangsa Johor serta mendoakan agar segala kelemahan dan kekhilafannya sepanjang memegang amanah sebagai Menteri Besar dapat dimaafkan.

“Saya manusia biasa yang banyak kelemahan dan banyak kekurangan. Saya hanya mampu berdoa dan berharap, apabila tiba masanya nanti, seluruh rakyat Bangsa Johor dapat mengampunkan dan memaafkan diri saya,” katanya.

Sumber: Malaysia Gazette( Haslina AR Kamaludin)

Scroll to Top