Lokman Adam sahkan kerjasama UMNO-Pas di Johor, mungkin turut disertai Wawasan

Lokman Adam sahkan kerjasama UMNO-Pas di Johor, mungkin turut disertai Wawasan

SHAH ALAM – UMNO mengesahkan akan kembali bekerjasama dengan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun sebelum ini pernah beberapa kali menegaskan tidak mahu lagi ‘dipatuk ular pada tempat yang sama’.

Pengarah Komunikasinya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, ia adalah peluang kali kedua untuk UMNO menjalinkan semula kerjasama dengan Pas dan berkemungkinan ditambah lagi dengan satu parti lain iaitu Parti Wawasan Malaysia (Wawasan).

“Memang kita tak nafikanlah bahawa kita sekarang ini sudah pastilah (untuk bekerjasama), kita dah pernah kerjasama sekali (tetapi) gagal dan ini adalah peluang kali kedua kita menjalinkan kerjasama dengan pihak yang sama iaitu Pas.

“Mungkin kali ini tambah satu lagi entiti iaitu Wawasan. Jadi sudah pastilah UMNO dengan pengalaman yang tak berapa cantik (dengan Pas) sebelum ini akan lebih berhati-hati. Tapi kalau setakat untuk kerjasama di Johor dan Negeri Sembilan saya rasa tidak ada banyak masalah,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook beliau pada Rabu.

Pada 8 Jun lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor berkata, rundingan bagi mencari jalan kerjasama di antara Pas dan UMNO yang sedang digerakkan menerusi jawatankuasa dalaman pemimpin kedua-dua parti ketika itu belum menghasilkan sebarang keputusan positif.

Kata beliau, dakwaan Pas ditawarkan kerusi Exco dan lantikan ke jawatan tertentu oleh UMNO, terutama menjelang PRN) Johor, Negeri Sembilan serta Melaka hanyalah khabar angin.

Wawasan yang diterajui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula pada Selasa dilapor sah menjadi sebahagian anggota Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Pas selepas dijenamakan semula daripada Parti Cinta Malaysia (PCM).

Perkara itu dinyatakan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut apabila PCM dipersetujui untuk dijenamakan semula sebagai Parti Wawasan Negara.

Lokman menegaskan, kebimbangan utama UMNO bukan lagi soal kerjasama dengan Pas, sebaliknya kemungkinan berlakunya situasi parti-parti yang bekerjasama meninggalkan gabungan di pertengahan jalan selepas pilihan raya.

“Keraguan kita ialah kalau kita masuk pilihan raya, sekerat jalan parti-parti politik ini akan meninggalkan kita. Kita tak nak perkara ini berlaku.

“Itu sebabnya ada kaedah-kaedah tertentu yang kita harapkan dapat dipersetujui oleh kedua-dua atau ketiga-tiga pihak,” ujarnya.

Beliau berkata, antara perkara yang dilihat mampu menjadikan kerjasama kali ini lebih kukuh ialah kemungkinan penggunaan logo Barisan Nasional (BN) yang akan mengikat semua calon di bawah satu perjanjian bersama.

Menurutnya, perjanjian tersebut akan memberi mandat kepada Pengerusi BN untuk berbincang dan membuat keputusan berkaitan kerjasama politik serta pembentukan kerajaan negeri selepas pilihan raya.

“Antara yang boleh saya sebut, pertama memberi mandat kepada Pengerusi BN untuk berbincang, berunding dan membuat keputusan dengan parti mana yang nak kita kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri.

“Kedua, memberi mandat kepada Pengerusi BN untuk berbincang dan membuat keputusan bagi pihak semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai siapa yang akan diangkat menjadi Menteri Besar,” ujarnya.

Beliau berkata, perjanjian berkenaan turut mengandungi syarat yang menghalang mana-mana wakil rakyat daripada menyertai parti lain atau keluar daripada BN selepas dipilih sebagai wakil rakyat.

Katanya, walaupun Akta Anti Lompat Parti sudah berkuat kuasa di peringkat Persekutuan, perjanjian tambahan yang bakal ditandatangani setiap calon akan memberi jaminan lebih kukuh kepada semua pihak.

“Saya rasa perjanjian yang akan ditandatangani oleh setiap wakil rakyat itu sudah memadai untuk mengikat dan membuat semua pihak merasa selamat bahawa tidak akan berlaku perkhianatan atau lompat sana, lompat sini. Jadi saya rasa kali ini lebih mudah dan lebih terkawal,” kata beliau.

 

 

 

Scroll to Top