KUALA LUMPUR – Seramai 4,008 pelarian Rohingya direkodkan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) seluruh Semenanjung Malaysia setakat ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, data daripada program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bermula pada 1 Januari dengan pelaksanaan Fasa 1 turut merangkumi seorang masing-masing warga Sudan dan Syria.
“Keseluruhannya adalah seramai 4,010 orang, merangkumi 2,746 tahanan lelaki dewasa, 632 tahanan perempuan dewasa, 392 kanak-kanak lelaki dan 240 kanak-kanak perempuan.
“Tahanan dewasa akan dipindahkan secara berfasa ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS), Bidor, Perak yang mempunyai kapasiti operasi seramai 400 tahanan pada satu-satu masa bagi menjalani proses Penentuan Status Pelarian (PSP),” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang disiarkan di laman web Parlimen.
Saifuddin menjelaskan seramai 101 orang tahanan telah dipindahkan ke PPKPPS Bidor sehingga 31 Mei lalu.
“Daripada jumlah ini, seramai 78 individu diperakukan sebagai pelarian Program DPP.
“Proses pembebasan mereka akan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen mengikut proses perundangan yang berkuat kuasa,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, Fasa 2 pula membabitkan pendaftaran pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan individu yang mengaku sebagai pelarian di luar DTI.
Katanya, fasa berkenaan dirancang bermula pada separuh kedua tahun ini.
“Proses akan dilaksanakan di pusat penentuan status pelarian yang akan diumumkan kelak.
“KDN menyasarkan proses pendaftaran ke atas golongan ini diselesaikan sepenuhnya pada 31 Disember 2029,” katanya.



