Hakim Danish tekad pamer momentum cemerlang di GP Belanda

Hakim Danish tekad pamer momentum cemerlang di GP Belanda

Kuala Lumpur: Kurang seminggu selepas mencipta sensasi dengan kemenangan sulung Moto3 pada perlumbaan di Grand Prix (GP) Republik Czech, pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli memilih untuk tidak terlalu lama dibuai kejayaan dilakar Ahad lalu itu.

Sebaliknya, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI yang lebih dikenali Hakim Danish itu menyifatkan perlumbaan seterusnya pada GP Belanda bermula 26-28 Jun ini di Litar Assen sebagai permulaan baharu yang menuntut tahap fokus sama ketika mengungguli GP Republik Czech di Litar Brno.

Dengan keyakinan yang semakin meningkat serta pengalaman dikutip sebelum ini, pelumba berusia 18 tahun itu berharap dapat memanfaatkan setiap sesi sepanjang hujung minggu perlumbaan bagi memburu satu lagi keputusan positif, sekali gus mengekalkan momentum cemerlang di GP Belanda.

“Kini fokus saya sepenuhnya terarah kepada perlumbaan di Assen hujung minggu ini.

“Di Assen, saya perlu melakukan perkara sama seperti di Brno, mendapatkan rentak seawal sesi latihan bebas 1.

“Saya perlu mencari kelajuan sejak awal dan memahami karakter litar serta jentera dengan cepat.

“Saya akan berusaha menyesuaikan diri dengan jentera secepat mungkin supaya dapat membina keyakinan yang diperlukan untuk menghadapi hujung minggu perlumbaan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hakim Danish berharap dapat memanfaatkan setiap saat di GP Belanda sebaik mungkin biarpun mengakui Litar Assen agak mencabar kerana memiliki banyak selekoh berkelajuan tinggi selain bersifat teknikal.

Walaupun bermula dari petak ke-14 pada perlumbaan GP Republik Czech, pelumba dari Terengganu itu memperagakan tunggangan matang dan agresif dengan memintas seorang demi seorang pencabar sebelum melintasi garisan penamat di kedudukan pertama dengan mencatat masa 33 minit 34.26 saat (s).

Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan ketinggalan 0.466s, manakala rakan senegaranya Marco Quiles dari CFMOTO Gaviota Aspar Team, melengkapkan podium (+0.629s).

Bulan lalu, Hakim Danish menaiki podium sulung musim ini selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada GP Itali di Litar Mugello.

Kejayaan Hakim Danish di GP Republik Czech menamatkan penantian selama 10 tahun Malaysia untuk menyaksikan kemenangan wakil negara dalam saingan Moto3 sejak kali terakhir diraih Khairul Idham Pawi pada GP Argentina dan GP Jerman ketika musim 2016.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top