Kuala Lumpur: Kejohanan Tenis Terbuka KL CIMB 2026 dijangka kembali meriah apabila menghimpunkan sekurang-kurangnya 200 pemain tempatan dan serantau dalam saingan yang berlangsung di Pusat Tenis Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim, dari 28 Julai hingga 2 Ogos depan.
Kejohanan terbesar di Malaysia yang menjadi sebahagian daripada Sirkit Kebangsaan anjuran Persatuan Lawn Tenis Malaysia (Tennis Malaysia) itu menawarkan lapan kategori pertandingan membabitkan perseorangan dan beregu lelaki serta wanita, Masters Lelaki 35+ (perseorangan dan beregu) dan Veteran Lelaki 50+ (perseorangan dan beregu).
Penganjur menawarkan hadiah wang tunai terkumpul melebihi RM80,000 selain baucar FILA bernilai RM15,650 kepada pemenang.
Saingan edisi kali ini turut dijangka mendapat sambutan pemain dari negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Singapura dan Thailand, sekali gus menjadikannya pentas terbaik untuk menguji kemampuan menjelang Sukan Malaysia (Sukma) ke-22 di Selangor.
Tumpuan pastinya terarah kepada beberapa pemain utama negara termasuk Imran Daniel Hazli, Darrshan Suresh Kumar dan Daania Daniella yang dijangka berdepan cabaran sengit daripada pencabar serantau.
Dalam usaha memperluaskan pembangunan bakat muda, Persatuan Lawn Tenis Kuala Lumpur (Tennis KL) turut menganjurkan Kejohanan Tenis ShekhinahPR Junior Invitational Mixed Doubles bersempena kejohanan itu.
Setiausaha Kehormat Tenis KL, Maria Fauzana Ghazali berkata, pertandingan khas untuk pemain berusia 11 hingga 14 tahun itu diharap mampu mencungkil lebih ramai bakat baharu dan memperkukuhkan pembangunan tenis negara dari peringkat akar umbi.
Katanya, kejohanan berkenaan juga adalah sebahagian daripada persiapan pasukan tenis Wilayah Persekutuan yang akan beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) Selangor dengan sasaran mempertahankan dua pingat emas yang dimenangi pada Sukma ke-21 di Sarawak.
“Kontinjen KL akan menyertai kesemua tujuh acara yang dipertandingkan iaitu berpasukan lelaki dan wanita, perseorangan dan beregu lelaki, perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran.
“Pasukan lelaki akan diketuai Imran Daniel Hazli yang kini menghuni ranking ATP 1,722 dan ITF 815, selain diperkuatkan oleh Darrshan Suresh Kumar.
“Bagi kategori wanita, harapan disandarkan kepada pemain muda meningkat naik, Daania Daniella Hazli yang berada di ranking ITF Junior 485, bersama Nao Phang (ITF Senior 805) dan Eleena Manoj (ITF Junior 891),” katanya.
Persiapan rapi yang bermula sejak 2025 dengan sokongan penuh Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) diyakini mampu membantu skuad itu mempertahankan pencapaian cemerlang pada temasya kali ini.
Malah, aspek kebajikan pemain turut diberikan perhatian khusus bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik menjelang cabaran di Selangor nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




