Bomoh Ghana dakwa sudah 'bebaskan' Kane

Bomoh Ghana dakwa sudah 'bebaskan' Kane

Accra: Bomoh Ghana, Nana Kwaku Bonsam mendakwa dia sudah ‘membebaskan’ sihir ke atas Harry Kane supaya penyerang itu dapat kembali menjaringkan gol untuk England ketika menentang Panama.

Bonsam menegaskan dia kini adalah ‘ahli spiritual paling berkuasa di seluruh dunia’ selepas kapten prolifik England itu gagal menemui sasaran ketika menentang Ghana di Boston.

Kane hanya mencatat 19 sentuhan ketika menentang Ghana namun dia mensia-siakan peluang terbaik perlawanan apabila rembatan dari jarak tujuh ela pada penghujung aksi melambung tinggi.

Sebelum perlawanan itu, Bonsam mengaku sedang menjalankan satu jampi untuk menghalang penyerang England berkenaan daripada menjaringkan gol, sambil berkata dengan penuh yakin ‘saya sedang mengusahakan Harry Kane.

“Saya sudah menunjukkan apa yang saya mampu lakukan sebelum ini, jadi saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk menghentikannya. Saya sangat terkenal dengan ramalan saya.

“Saya tidak mahu dia mengalami kecederaan serius. Ia hanya cukup untuk menghalangnya ketika menentang negara saya.”

Kini Bonsam yang namanya membawa maksud ‘Syaitan Hari Rabu’ mengumumkan hasratnya untuk ‘membebaskan’ Kane daripada belenggu itu.

Katanya ‘saya adalah ahli spiritual paling berkuasa di seluruh dunia. Sekarang, saya akan membebaskan Harry Kane supaya dalam perlawanan seterusnya dia boleh menjaringkan gol.

“Harry, saya akan datang melawat kamu. Jangan terasa hati. Kita berkawan.”

Pada 2014, lelaki berusia 52 tahun itu mendakwa dia bertanggungjawab terhadap kecederaan lutut yang mengancam penyertaan Cristiano Ronaldo di Piala Dunia.

Penyerang Portugal itu turut mengalami masalah paha pada waktu terbabit namun akhirnya pulih dan beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan termasuk menentang Ghana di Brasilia yang menyaksikan Ronaldo menjaringkan gol kemenangan.

Ronaldo masih aktif bermain pada usia 41 tahun dan menjaringkan dua gol pada penampilan keenamnya di pentas Piala Dunia ketika Portugal membelasah Uzbekistan 5-0 di Houston, semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top