am@hmetro.com.my
Melaka: Pelajar lelaki tingkatan dua meninggal dunia selepas rebah ketika mendengar taklimat ragbi daripada jurulatih di sekolahnya di Melaka Tengah, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa berusia 14 tahun sempat mengikuti sesi latihan ragbi yang kemudian dihentikan seketika untuk berehat dan taklimat.
Datuk saudara mangsa, Yahya Endut, 64, berkata, dia bergegas ke Hospital Melaka dari Alor Gajah sebaik menerima panggilan memaklumkan keadaan remaja itu.
Menurutnya, mangsa yang dipeliharanya sejak kecil tinggal di asrama sekolah dan tidak pernah mengadu mengalami sebarang masalah kesihatan.
“Saya dimaklumkan dia baharu menjalani latihan kira-kira 15 minit sebelum berehat bersama rakan-rakan.
“Ketika jurulatih sedang memberikan taklimat, dia yang sedang duduk tiba-tiba rebah dan mengalami kesukaran bernafas,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, malam ini.
Tambahnya, dia masih terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka pemergian cucu saudaranya memandangkan mangsa tiada sebarang penyakit dan tidak pernah mengadu kurang sihat sebelum ini.
Sementara itu, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman mengesahkan kejadian berkenaan.
“Mangsa merupakan pelajar lelaki yang bersekolah di Telok Mas dan dipercayai rebah ketika taklimat selepas latihan ragbi, sebelum disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas ketika dihubungi turut mengesahkan kejadiandan memaklumkan pihak polis akan mengeluarkan kenyataan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




