Ruang sempit, susun atur kurang praktikal

Ruang sempit, susun atur kurang praktikal

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Reka bentuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) ketika ini dilihat masih memberi fokus kepada aspek kuantiti unit dan kos pembinaan berbanding keperluan jangka panjang penghuni, sekali gus menimbulkan cabaran kepada golongan warga emas dari sudut keselamatan, pergerakan dan keselesaan harian.

Pengarah Pusat Kejuruteraan Forensik, Institut Infrastruktur Pintar dan Pembinaan Inovatif, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Noor Nabilah Sarbini berkata, keadaan itu menyebabkan banyak kediaman PPR kurang mesra warga emas terutama apabila membabitkan keluarga pelbagai generasi dan penghuni yang mempunyai masalah kesihatan atau pergerakan.

Katanya, keluasan unit PPR kira-kira 62 meter persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air mungkin mencukupi bagi keluarga kecil, namun boleh menjadi cabaran apabila didiami bersama warga emas.

“PPR bukan sekadar isu menyediakan tempat tinggal, tetapi bagaimana sesebuah kediaman itu mampu menyokong kehidupan penghuni secara selamat dan berkualiti apabila mereka meningkat usia.

“Jika reka bentuk tidak mengambil kira keperluan warga emas sejak awal, risiko kemalangan, pengasingan sosial dan kemerosotan kualiti hidup akan menjadi semakin ketara pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, ruang sempit dan susun atur rumah yang kurang praktikal boleh mengehadkan pergerakan warga emas terutama yang menggunakan tongkat atau kerusi roda.

“Beberapa kelemahan kemudahan asas di bangunan PPR seperti lif kerap rosak, tangga curam dan sempit, pencahayaan tidak mencukupi serta pengudaraan kurang baik turut memberi kesan langsung kepada kesejahteraan penghuni berusia.

“Elemen seperti lif yang berfungsi dengan baik, laluan tanpa halangan, pencahayaan mencukupi dan susun atur ruang lebih praktikal bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan asas dalam pembangunan perumahan mampu milik yang inklusif dan mesra warga emas,” katanya.

Noor Nabilah berkata, pembangunan rumah mampu milik di negara maju seperti United Kingdom (UK) dan Singapura sudah lama mengambil kira aspek keluasan ruang, kepelbagaian jenis unit serta kemudahan mesra penghuni berdasarkan kapasiti isi rumah dan perubahan demografi.

Katanya, Malaysia juga mempunyai garis panduan seperti CIDB Affordable Housing Design Standard for Malaysia yang boleh dijadikan asas bagi memperkukuh elemen kediaman mesra warga emas.

“Aspek penyelenggaraan bangunan tidak boleh dipandang ringan kerana kerosakan kecil boleh memberi impak besar terhadap keselamatan penghuni.

“Pendekatan penyelenggaraan proaktif dan pemantauan berkala amat penting kerana kegagalan komponen kecil seperti lif, saliran atau sistem elektrik boleh memberi kesan besar terhadap keselamatan dan kesejahteraan penghuni warga emas,” katanya.

Menurutnya, jika tiada perubahan dilakukan terhadap reka bentuk dan pengurusan bangunan PPR dan PA ketika ini, kos penyelenggaraan serta kerja pembaikan besar dijangka meningkat pada masa depan selain menjejaskan kualiti hidup penghuni.

“Pendekatan lebih inklusif melalui reka bentuk mesra warga emas, ruang komuniti aktif, akses kepada pengangkutan awam dan kemudahan kesihatan perlu diberi perhatian dalam pembangunan PPR generasi baharu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top