Miami: Vinicius Junior meledak dua gol ketika Brazil mara ke pusingan kedua Piala Dunia sebagai juara Kumpulan C selepas menewaskan Scotland 3-0, sebentar tadi sekali gus memaksa lawannya itu menunggu keputusan perlawanan lain untuk menentukan peluang mereka mara.
Penyerang lincah Real Madrid itu membuka jaringan hasil kekeliruan pertahanan Scotland pada minit ketujuh sebelum menambah gol kedua menerusi tandukan pada masa kecederaan babak pertama.
Matheus Cunha kemudian melengkapkan kemenangan Brazil dengan gol ketiga pada minit ke-60.
Kemenangan selesa itu turut menyaksikan kembalinya Neymar selepas tempoh panjang tidak beraksi.
Digabungkan dengan kemenangan Maghribi 4-2 ke atas Haiti, Brazil kini menuju ke Houston untuk aksi pusingan seterusnya, di mana mereka bakal bertemu sama ada Belanda, Jepun atau Sweden pada Isnin depan.
Scotland pula mengecewakan penyokong setia mereka, dikenali sebagai Tartan Army, selepas mempamerkan aksi hambar dan dipenuhi kesilapan terutama pada separuh masa pertama.
Kini, Scotland hanya mampu berharap untuk mara sebagai salah satu daripada lapan pasukan tempat ketiga terbaik daripada 12 kumpulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




