Siasatan forensik bebas sahkan dakwaan projek Battersea London tidak berasas

Siasatan forensik bebas sahkan dakwaan projek Battersea London tidak berasas

fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Dua laporan siasatan forensik bebas yang dijalankan firma audit dan perunding Evelyn Partners merumuskan bahawa dakwaan berhubung terlebih nilai dan penyelewengan kewangan dalam projek pembangunan Battersea Power Station di London adalah tidak berasas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan dapatan itu, kerajaan menetapkan tiada keperluan untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Battersea Project Holding Company telah melantik juruaudit forensik bebas, Evelyn Partners untuk menjalankan semakan terhadap perkara yang dibangkitkan berhubung laporan kewangan projek Battersea Power Station.

“Dua laporan forensik yang dikemukakan merumuskan bahawa dakwaan yang dibangkitkan adalah tidak berasas, sekali gus tiada keperluan untuk siasatan lanjut,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang mahu mengetahui perkembangan siasatan ketulenan laporan kewangan projek Battersea Power Station oleh juruaudit forensik bebas.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, semakan sama turut mendapati bahawa amalan perakaunan yang dilaksanakan oleh syarikat terbabit adalah selaras dengan piawaian perakaunan antarabangsa.

Selain itu, beliau mengesahkan bahawa akaun syarikat terbabit juga sudah diaudit dan disahkan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC), salah sebuah daripada empat firma perakaunan terbesar.

“Selaras dengan penemuan juruaudit forensik serta hasil kerja PwC sebagai juruaudit syarikat, tiada pelarasan penilaian pelaburan susulan dakwaan yang dibangkitkan bagi tahun 2025.

“Prestasi dan penilaian pelaburan terus dipantau secara berkala selaras dengan amalan tadbir urus dan piawaian pelaporan kewangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top