FLORIDA – Pasangan dari Florida yang menjadi perhatian selepas melahirkan bayi perempuan hasil rawatan persenyawaan in vitro (IVF), yang bukan anak kandung secara genetik mereka berkongsi perkembangan positif susulan perjanjian hak penjagaan yang dicapai dengan ibu bapa biologi kanak-kanak itu.
Tiffany Score dan Steven Mills menyambut kelahiran bayi perempuan mereka, Shea, pada Disember 2025 menerusi rawatan IVF.
Bagaimanapun, pasangan itu kemudian mendapati bayi tersebut tidak mempunyai hubungan genetik dengan mereka, dipercayai akibat kesilapan pertukaran embrio di sebuah klinik kesuburan.
Perkembangan terkini keluarga itu dikongsikan menerusi satu kenyataan oleh adik perempuan Score, Alexa, dalam kemas kini di laman kutipan dana yang diwujudkan bagi membantu pasangan tersebut.
Menurut Alexa, kedua-dua keluarga berjaya mencapai satu perjanjian hak penjagaan yang disifatkannya lahir daripada kasih sayang dan keikhlasan semua pihak yang terlibat.
“Perjanjian ini dicapai atas dasar kasih sayang tanpa mementingkan diri sendiri. Hati keluarga kami kini dipenuhi rasa lega dan syukur,” katanya.
Beliau berkata, pasangan itu masih berusaha mendapatkan jawapan mengenai bagaimana kesilapan pertukaran embrio tersebut boleh berlaku serta menjejaki nasib tiga embrio lain yang pernah dihasilkan mereka.
Menurutnya, proses itu melibatkan penyelarasan undang-undang yang berterusan, konsultasi perubatan, ujian genetik serta pemindahan dan pemeriksaan embrio terakhir yang masih berbaki.
“Proses ini sangat rumit dan memerlukan kos yang tinggi, tanpa sebarang jaminan terhadap hasil akhirnya,” katanya.
Alexa turut menjelaskan bahawa sokongan orang ramai membantu pasangan itu meneruskan usaha mencari jawapan sambil memberi tumpuan kepada membesarkan Shea.
Sebelum ini, Score dan Mills tampil berkongsi kisah mereka kepada umum dalam usaha menjejaki ibu bapa biologi Shea.
Menurut dokumen mahkamah, perjanjian yang dicapai membolehkan Score dan Mills terus memegang hak penjagaan kekal terhadap Shea, namun kedua-dua keluarga akan terus memainkan peranan dalam kehidupannya.
Wakil pasangan itu memaklumkan mereka kini memberi tumpuan kepada privasi anak tersebut serta membina hubungan yang baik dengan ibu bapa biologinya.
Sementara itu, ibu bapa genetik Shea turut menuntut pihak yang bertanggungjawab memberikan penjelasan dan bertanggungjawab atas insiden tersebut.
Peguam mereka, Rob Marcereau berkata, satu tindakan saman sivil dijangka difailkan terhadap klinik kesuburan terbabit dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Beliau berkata, anak guamnya berpuas hati mengetahui Shea dibesarkan dalam persekitaran yang baik oleh Score dan Mills.
“Tiada penyelesaian yang mudah dalam situasi ini, namun semua pihak sedang melakukan yang terbaik mengikut keadaan yang ada,” katanya.
Score dan Mills sebelum ini telah memfailkan saman terhadap klinik berkenaan, yang menghentikan operasi pada Mei lalu dan mengarahkan pesakitnya mendapatkan perkhidmatan di sebuah klinik lain yang masih menggunakan sebahagian kakitangan sama.
Doktor yang terlibat, Milton McNichol, serta pihak klinik setakat ini belum memberikan sebarang komen berhubung kes tersebut. – Agensi



