Setiausaha Agong Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan kelewatan pengumuman calon BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan berpunca daripada sebarang isu dalaman seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Banyak andaian tak tepat tentang penangguhan majlis
Menerusi hantaran beliau di media sosial, terdapat pelbagai andaian dan spekulasi yang tidak tepat berhubung penangguhan majlis pengumuman calon yang sepatutnya bermula pada jam 3 petang sebelum dianjak ke jam 4.30 petang.
Asyraf menyatakan, setiap calon BN perlu melalui beberapa proses penting termasuk melafazkan baiah bagi memastikan kesetiaan kepada parti serta komitmen untuk tidak melompat parti sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.
Pelbagai tapisan dibuat termasuk rekod jenayah
Selain itu, semua calon turut menjalani tapisan menyeluruh melibatkan pelbagai aspek termasuk status kebankrapan, rekod jenayah, semakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Agama Islam bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang kesalahan syariah.
“Banyak sangat andaian dan spekulasi tidak betul mengenai kelewatan pengumuman calon BN bagi Pilihanraya Negeri Johor yang sepatutnya bermula 3 petang ditangguh ke pukul 4.30 petang tadi.
“Untuk pengetahuan semua, setiap calon bukan sahaja perlu berbaiah untuk kekal setia dan tidak lompat parti jika menang, tetapi setiap calon harus melalui tapisan ketat untuk disemak profil masing-masing dari aspek kebankrapan, bebas daripada sebarang kes jenayah, Lembaga Hasil Dalam Negeri, SPRM, Jabatan Agama Islam (bersih daripada isu-isu terkait kesalahan Syariah).
“Malah setiap calon mesti mesti melalui proses menanda-tangani beberapa dokumen perjanjian dan kontrak di hadapan peguam dan Pesuruhjaya Sumpah.
Proses yang bermula pukul 10.30 pagi yang dijangkakan selesai pukul 2.30, berlanjutan sehingga ke pukul 4.00 petang kerana melibatkan 56 calon-calon Barisan Nasional,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan proses yang bermula seawal jam 10.30 pagi itu mengambil masa lebih lama daripada jangkaan kerana melibatkan seramai 56 calon BN yang perlu melengkapkan dokumentasi serta menandatangani beberapa perjanjian dan kontrak di hadapan peguam serta Pesuruhjaya Sumpah.
Dalam masa sama, Asyraf memohon maaf kepada penyokong, jentera parti dan pengamal media yang terpaksa menunggu lebih lama sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Bagi pihak UMNO dan Barisan Nasional, saya mohon maaf kepada semua penyokong, jentera parti dan rakan-rakan media yang terpaksa menunggu lama untuk mendengar pengumuman rasmi daripada Pengerusi BN Negeri Johor Dato Onn Hafiz Ghazi.
Moga Allah memberikan kemenangan kepada semua calon-calon Barisan Nasional demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengumumkan senarai calon gabungan itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pengumuman dibuat pada Majlis Pengumuman Calon BN di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, di sini disaksikan barisan kepimpinan tertinggi serta ribuan penyokong gabungan berkenaan.
Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki





