Bekas pekerja hotel jana pendapatan melalui ternakan tiram

Bekas pekerja hotel jana pendapatan melalui ternakan tiram
Bekas pekerja hotel jana pendapatan melalui ternakan tiram

Mohd Fakarudin, Azrulfaizal, Razi dan Mohammad Najuddin menunjukkan tiram yang siap dihidang di kawasan ternakan tiram mereka di Kampung Kubang Badak, Langkawi.

LANGKAWI – Kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 telah menjejaskan sumber pendapatan sebahagian penduduk Kampung Kubang Badak di sini apabila ramai kehilangan pekerjaan dan berdepan ketidaktentuan hidup.

Namun siapa sangka, daripada krisis itu, lahir sekumpulan usahawan mikro bumiputera yang berjaya mengubah nasib melalui industri ternakan tiram sehingga menjadi tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa.

UEM Group Berhad (UEM Group), anak syarikat milik penuh dan sayap infrastruktur utama Khazanah Nasional Berhad, melalui Yayasan UEM telah bekerjasama dengan Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia melaksanakan Program Pembangunan Keusahawanan Berteraskan Kelestarian pada 2024 dengan membimbing lima peserta projek perintis dan berjaya mengubah kehidupan mereka.

Inisiatif komuniti oleh UEM Group ini selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI bagi memastikan pertumbuhan yang dicapai lebih bermakna, mampan dan dirasai secara meluas, Pengusaha ternakan tiram, Mohd Fakarudin Ibrahim, 42, berkata, projek tersebut dimulakan bersama empat lagi peserta iaitu Razi Baharum, 44; Azrulfaizal Aziz, 46; Rosmaini Mohamad Sallih, 47 dan Mohammad Najuddin Hasan, 44.

MOHD FAKARUDIN

MOHD FAKARUDIN

Menurutnya, ketika pandemik melanda, ramai pekerja hotel termasuk tiga daripada peserta projek itu berdepan ketidaktentuan ekonomi apabila operasi sektor pelancongan terjejas teruk.

“Kami hanya bekerja seminggu, seminggu lagi tidak bekerja. Selepas itu hotel pula terbakar dan kami sedar keadaan itu tidak boleh berterusan kerana kami pelru mencari pendapatan untuk menyara keluarga masingmasing.

“Ketika kami berdepan dengan masalah kewangan, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memaklumkan ada bengkel ternakan tiram dianjurkan dan komuniti di sini mengambil peluang untuk menyertainya.

Jelas Mohd Fakarudin, yang juga merupakan Imam dan Pengerusi Kariah Masjid Nurussalam di Kampung Ewa, sokongan komuniti setempat menjadi kekuatan utama kejayaan projek antaranya penduduk kampung berganding bahu membantu membina sangkar dan rakit ternakan.

Menurutnya, kejayaan projek itu mula dirasai apabila pendapatan mereka meningkat berbanding sebelum ini yang hanya bergantung kepada pekerjaan bermusim.

Mohd Fakarudin, Razi, Azrulfaizal dan Mohammad Najuddin menunjukkan tiram yang sudah boleh dikutip dan dijual kepada pelanggan.

Mohd Fakarudin, Razi, Azrulfaizal dan Mohammad Najuddin menunjukkan tiram yang sudah boleh dikutip dan dijual kepada pelanggan.

“Dengan dana yang diperuntukkan oleh Yayasan UEM serta benih dan latihan daripada CEMACS, kami menambah lagi sangkar serta membina pondok operasi untuk membesarkan projek ini.

“Sebelum ini, kami hanya menjual tiram kepada hotel-hotel mewah di Langkawi. Kini, ia turut mendapat permintaan pengeluar sos tiram serta syarikat teknologi makanan dan mula ditempah oleh pelancong untuk menikmati tiram sekali gus memacu pendapatan kami,” ujarnya.

Tambahnya, projek berkenaan perlu diperluaskan kepada komuniti lain kerana industri ternakan tiram mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sehingga ke pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, penggunaan sistem solar yang disumbangkan menerusi UEM Lestra Berhad, anak syarikat milik penuh UEM Group, turut membantu menjana tenaga bersih untuk operasi ladang, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional.

Mohd Fakarudin memaklumkan, mereka juga pernah menjadi pembekal tunggal tiram untuk Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di Langkawi sebelum ini.

Projek ternakan tiram beri sinar baharu Sementara itu, Razi berkata, kehilangan pekerjaan di sebuah hotel terkemuka di Langkawi selepas 16 tahun bekerja akibat pandemik Covid-19 memberikan kesan besar kepadanya.

RAZI BAHARUM

RAZI BAHARUM

Namun, projek ternakan tiram memberi sinar baharu kepadanya dan komuniti setempat yang sebelum ini hilang punca pendapatan.

“Meskipun kini kami sudah ada 25 sangkar, ia masih belum cukup untuk memenuhi permintaan tiram yang tinggi.

“Kebanyakan pelancong menggemari keenakan tiram di sini kerana ia diternak di dalam air bersih dan jauh dari kawasan tercemar. Ada pelancong luar negara yang merasai tiram di sini telah membeli untuk dibawa pulang,” katanya.

Beliau berkata, setiap peserta kini memperolehi pendapatan berjumlah RM2,000 hingga RM3,000 sebulan berbanding sebelum ini hanya RM1,500.

“Kejayaan projek itu juga telah memacu ekosistem ekonomi dalam pelbagai bidang perniagaan yang diusahakan penduduk sekitar.

“Ia telah menarik perhatian Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk membantu meningkatkan pendapatan pengusaha bot pelancong, peniaga makanan dan pemandu pelancong tempatan,” katanya.

Pembangunan ekonomi komuniti

Sementara itu, Pengarah Urusan UEM Group merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UEM, Datuk Amran Hafiz Affifudin berkata, kejayaan projek di Kampung Kubang Badak membuktikan pembangunan komuniti mampu dilaksanakan secara mampan jika disokong dengan latihan, peluang ekonomi dan kerjasama strategik.

Katanya, model tersebut selari dengan aspirasi kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi lebih inklusif dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Bagi Profesor Kehormat CEMACS, Datuk Dr Aileen Tan Shau Hwai, projek tersebut membuktikan gabungan penyelidikan saintifik dan pembangunan komuniti mampu menghasilkan impak besar terhadap kehidupan masyarakat.

Menurutnya, pendekatan berasaskan kelestarian itu bukan sahaja meningkatkan ekonomi komuniti, malah membantu memelihara ekosistem marin secara berterusan.

 

 

 

 

Scroll to Top