Parlimen akan nilai, syor atau tidak syor calon Pendakwa Raya

Parlimen akan nilai, syor atau tidak syor calon Pendakwa Raya

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bersetuju supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) yang akan ditubuhkan untuk memberikan ulasan, penilaian serta mengesyorkan atau tidak mengesyorkan calon Pendakwa Raya yang dikemukakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jawatankuasa itu akan melaksanakan peranan berkenaan selepas dimaklumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) mengenai senarai calon-calon terbabit.

Katanya, sebarang isu berkaitan kerahsiaan calon pula akan diputuskan oleh JPKP berdasarkan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Reformasi pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan suatu reformasi institusi yang besar dan sangat kompleks.

“Kerajaan Madani terus memperkukuh peranan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya di bawah cadangan pindaan berkaitan pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, yang merupakan antara syor yang dipersetujui oleh JKPK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata, cadangan itu merupakan pembaharuan institusi yang signifikan dan julung kali diperkenalkan di Malaysia dengan Parlimen diberikan peranan dalam proses pelantikan Pendakwa Raya sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh akauntabiliti serta mekanisme semak dan imbang institusi.

Katanya, langkah itu dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan selain menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan struktur asas pentadbiran negara.

“Parlimen akan menetapkan tatacara pelaksanaan peranannya dalam proses pelantikan Pendakwa Raya dan prosedurnya sendiri selaras dengan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Perincian lanjut mengenai tatacara pelantikan termasuk cara pemakluman akan dibuat kepada Parlimen dan cara pemberian ulasan oleh Parlimen sebelum SPKP memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong akan diperuntukkan melalui undang-undang Persekutuan,” katanya.

Tambah beliau, mekanisme penglibatan Parlimen akan digerakkan menerusi penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen di bawah Peraturan-peraturan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi meneliti senarai calon Pendakwa Raya.

Katanya, perkara itu telah dibincangkan secara mendalam menerusi JKPK yang keanggotaannya merentasi blok kerajaan dan pembangkang serta melibatkan pelbagai parti politik.

“Pandangan dan syor yang dikemukakan oleh ahli-ahli jawatankuasa telah dipertimbangkan dalam merangka cadangan pindaan ini.

“Saya berharap semua Ahli Parlimen daripada kerajaan mahupun pembangkang dapat bersama-sama menyokong usaha reformasi institusi ini. Reformasi ini bukan mengenai mana-mana pihak tetapi mengenai kepentingan negara kita,” katanya.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu.

Selepas bacaan kedua pada 3 Mac lalu, RUU itu dirujuk ke JKPK untuk diperhalusi dan ia dijangka dibentangkan pada sesi Persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Isnin lalu, Azalina dilaporkan berkata, syor penambahbaikan RUU itu antaranya ialah pelantikan Pendakwa Raya dilaksanakan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat SPKP tanpa membabitkan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. – UTUSAN

Scroll to Top