Kenyataan Puad Zarkashi sentuh 3R – Pemuda UMNO Johor

Kenyataan Puad Zarkashi sentuh 3R – Pemuda UMNO Johor

PASIR GUDANG – Kenyataan mengaitkan istana dengan pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) Johor oleh Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi disifatkan sudah menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, ini kerana kenyataan tersebut dilihat mempunyai unsur hasutan apabila sengaja mengheret institusi diraja dalam percakaran politik.

“Kenyataan beliau boleh mewujudkan kebencian terhadap institusi diraja. Akhirnya kita bimbang akan membawa kepada ketidaktenteraman awam. Jadi kita serahkan pada pihak polis untuk buat siasatan secara menyeluruh.

“Sebab itu, laporan polis dibuat supaya siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan adil serta tindakan lanjut dapat dipertimbangkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini pada Khamis.

Noor Azleen membuat laporan terhadap kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyentuh isu 3R.

Dalam pada itu, Noor Azleen memberitahu sebarang kerusi yang ditandingi sesebuah parti politik bukan hak mutlak mana-mana pemimpin atau penyandang, sebaliknya hak parti untuk menentukan calon yang paling sesuai.

Jelasnya, setiap pemimpin perlu memahami bahawa keputusan meletakkan calon pada PRN merupakan prerogatif pucuk pimpinan parti.

“Perlu diingat, kerusi adalah hak parti. Apabila tiba masanya, kerusi itu perlu dipulangkan kepada parti. Parti mempunyai prerogatif dan hak untuk menentukan siapa yang layak menjadi calon.

“Bukan penyandang yang mempunyai hak mutlak untuk menentukan perkara itu. Apabila seseorang membuat keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi yang disandang, maka keputusan mengenai calon perlu diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti,” katanya.

Beliau mendakwa tindakan Mohd Puad itu berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap senarai calon PRN Johor.

“Daripada kenyataan beliau sejak semalam, jelas terdapat rasa tidak puas hati terhadap senarai calon yang didakwa telah dilihat lebih awal. Hari ini beliau mengambil keputusan keluar UMNO dan mendakwa UMNO menjadi boneka serta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai pak turut.

“Saya berpandangan kenyataan sedemikian tidak adil dan tidak sepatutnya datang daripada seorang pemimpin yang berpengalaman serta telah lama berada dalam parti,” katanya.

Sebelum itu, media melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi keluar parti berkait dengan kegagalan mendapatkan pencalonan untuk anaknya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, bukan berpunca daripada dakwaan campur tangan Istana dalam urusan UMNO Johor.

Beliau berkata, Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pernah menghantar mesej panjang kepadanya menyatakan hasrat untuk keluar parti dan mengkritik UMNO sekiranya kepimpinan tertinggi parti tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon di DUN Rengit.

Scroll to Top