‘Jawab, jangan ugut’ – Pemuda Pas Kelantan bidas KPT isu ‘pintu belakang’ IPTA

‘Jawab, jangan ugut’ – Pemuda Pas Kelantan bidas KPT isu ‘pintu belakang’ IPTA

KOTA BHARU – Pemuda Pas Kelantan menyifatkan tindakan mahu menyaman pihak yang mempersoalkan isu kemasukan pelajar ke universiti awam sebagai langkah yang tidak membantu meredakan kekeliruan rakyat, sebaliknya menimbulkan lebih banyak tanda tanya terhadap ketelusan sistem sedia ada.

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, kontroversi yang tercetus susulan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah mengenai kemasukan pelajar ke universiti awam melalui apa yang disebut sebagai ‘pintu belakang’ sepatutnya dijawab dengan fakta dan data, bukannya ancaman tindakan undang-undang.

Menurut beliau, persoalan yang dibangkitkan bukan semata-mata mengenai istilah yang digunakan, sebaliknya menyentuh isu lebih besar berkaitan ketelusan, keadilan dan akses kepada pendidikan tinggi negara.

“Rakyat berhak mengetahui sama ada wujud saluran kemasukan selain UPU, bagaimana mekanisme itu beroperasi, jumlah pelajar yang diterima melaluinya dan sama ada ia memberi kesan kepada peluang calon lain yang bersaing menerusi sistem merit.

“Ini bukan fitnah atau cubaan menjatuhkan reputasi institusi pendidikan negara, sebaliknya persoalan yang wajar ditanya oleh mana-mana wakil rakyat yang prihatin terhadap masa depan generasi muda,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata, universiti awam merupakan institusi yang dibiayai menggunakan wang rakyat dan sewajarnya menjamin peluang pendidikan yang adil kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, kebimbangan timbul apabila respons yang diberikan dilihat lebih menjurus kepada tindakan perundangan berbanding penjelasan terperinci yang mampu menjawab segala kekeliruan.

“Dalam sebuah negara demokrasi yang matang, persoalan awam sepatutnya dijawab menerusi pendedahan angka, statistik, laporan dan fakta yang boleh disemak oleh rakyat.

“Jika dakwaan itu tidak benar, kementerian hanya perlu mengemukakan bukti yang jelas dan terperinci bagi menafikannya. Sebaliknya, tindakan menggunakan saluran undang-undang terhadap pihak yang membangkitkan isu boleh menimbulkan persepsi bahawa kerajaan lebih berminat mempertahankan imej berbanding menjawab persoalan pokok,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu juga berpotensi mewujudkan budaya takut bersuara dalam kalangan rakyat dan wakil rakyat yang mahu membangkitkan isu berkepentingan awam.

Mohd Firdaus turut menegaskan bahawa kewujudan pelbagai saluran kemasukan ke universiti awam bukan perkara asing, namun persoalan utama adalah sejauh mana saluran tersebut mempengaruhi prinsip meritokrasi serta peluang pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Katanya, jika benar terdapat laluan tertentu yang memerlukan bayaran lebih tinggi atau hanya boleh diakses oleh kelompok tertentu, maka perkara itu wajar dibahaskan secara terbuka.

“Dalam keadaan ribuan pelajar cemerlang setiap tahun gagal mendapat tempat dalam program pilihan mereka, adalah lumrah masyarakat mempersoalkan bagaimana tempat di universiti awam diagihkan.

“Menjawab persoalan itu secara telus akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan negara, manakala menutup ruang perbincangan hanya akan menimbulkan lebih banyak syak wasangka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi mengambil pendekatan lebih terbuka dengan mendedahkan data serta laporan lengkap berhubung sistem kemasukan universiti awam.

“Tidak timbul soal siapa betul atau siapa salah. Apa yang lebih penting ialah hak rakyat untuk mengetahui bagaimana peluang pendidikan tinggi diagihkan di negara ini.

“Setiap persoalan yang menyentuh soal keadilan akses kepada pendidikan perlu dijawab dengan fakta dan ketelusan, bukannya tindakan yang boleh dilihat sebagai cubaan menutup ruang perbahasan awam,” katanya.

Scroll to Top