Bon penalti RM2 juta jika calon BERSAMA langgar akujanji

Bon penalti RM2 juta jika calon BERSAMA langgar akujanji

Saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) mengenakan bon penalti sehingga RM2 juta terhadap 15 calonnya yang bertanding bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 sekiranya melanggar syarat akuan bersumpah yang ditetapkan.

Langkah itu diumumkan menerusi kenyataan bersama oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengambil alih dan menerajui BERSAMA dengan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menerusi kenyataan itu, akuan bersumpah bersetuju dengan akujanji itu juga termasuk untuk tidak lompat parti, tidak mengosongkan kerusi, hadir ke mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan prestasi lain.

“Setiap calon bukan saja perlu mengisytiharkan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan secara akuan bersumpah, malah turut menandatangani beberapa akujanji lain dan surat peletakan jawatan secara bersyarat.

“Antara akujanji berkenaan ialah untuk meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi DUN sekiranya dipecat atau berhenti menjadi ahli BERSAMA.

“Surat peletakan jawatan yang siap ditandatangani dan dipegang oleh BERSAMA selaras dengan perkara-perkara di dalam akujanji yang pertama,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya, di sini, hari ini.

Katanya, akujanji itu juga mewajibkan calon memulangkan wang deposit yang dibayar kepada BERSAMA.

“Calon juga perlu mengesahkan bahawa mereka layak bertanding di sisi undang-undang dan memberikan maklumat yang tepat kepada parti semasa proses pemilihan calon.

“Semua 15 calon BERSAMA bersetuju menandatangani set akuan bersumpah ini dan dijangka dikemukakan sepenuhnya kepada parti sebelum jam 12 tengah hari, esok iaitu enam jam sebelum calon diumumkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pengisytiharan penyata harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan setiap calon akan dimuat naik ke laman bersama.org dan akses kepada orang ramai akan dibuka pada jam 10 malam, esok.

“Orang ramai dijemput untuk meneliti sendiri latar belakang kerjaya, pendidikan, aktiviti kemasyarakatan dan kedudukan kewangan setiap calon.

“Calon-calon BERSAMA akan diumumkan esok jam 8 malam di ruang parkir, Paragon Market Place, Kampung Baru Majidee bersempena dengan pelancaran Trak Kancil yang akan digunakan sepanjang kempen PRN Johor 2026.

“BERSAMA berharap calon-calon dari parti lain yang bertanding juga akan mengisytiharkan harta untuk mengukuhkan amalan berintegriti dalam politik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top