mhafis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Penyelidikan pencegahan rasuah melalui Pemerkasaan Pelaporan Kewangan dan Amalan Audit: Kajian terhadap Rangka Kerja Kawal Selia Pelbagai Agensi di Malaysia yang dilaksanakan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di bawah Geran Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah kini pada peringkat akhir pelaksanaan.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, kajian itu meneliti landskap semasa pelaporan kewangan dan amalan audit di Malaysia dengan mengenal pasti kelemahan dalam kerangka kawal selia yang berpotensi membuka ruang kepada manipulasi kewangan dan perlakuan rasuah.
Menurutnya, selain itu, penyelidikan turut menilai amalan terbaik antarabangsa serta mencadangkan satu rangka kerja yang bersepadu bagi memperkukuh koordinasi antara agensi kawal selia.
“Bagi kajian ini, Pengarah SPRM Selangor dilantik sebagai pakar rujuk dan penyelia manakala beberapa pegawai SPRM sebagai ahli pasukan penyelidik bagi menyumbang kepakaran serta memastikan hasil kajian lebih praktikal, relevan dan selari dengan keperluan semasa.
“Geran Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah ini diselaraskan oleh Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM dalam usaha memperkukuh tadbir urus, integriti dan pencegahan rasuah di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi membentangkan dapatan kajian yang dipengerusikan oleh Timbalan Akauntan Negara (Operasi), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Mohd Azraai Md Aznan di bilik mesyuarat Oasis, JANM pada 23 Jun lalu.
Mohd Azwan berkata, sesi pembentangan awal yang bertujuan untuk mendapatkan pandangan pemegang taruh sudah menerima maklum balas yang amat positif daripada pihak JANM khususnya terhadap cadangan dikemukakan bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan keberkesanan sistem pelaporan kewangan negara.
Katanya, hasil penyelidikan ini dijangka menjadi rujukan strategik kepada pembuat dasar dan agensi berkaitan dalam memperkukuh tadbir urus kewangan, memperkasa integriti institusi serta menyokong pelaksanaan inisiatif pencegahan rasuah yang lebih menyeluruh demi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan negara.
Sementara itu, Mohd Azraai berkata, sesi pembentangan ini menjadi platform penting untuk melihat bagaimana agensi teras seperti JANM dan SPRM dapat bekerjasama dalam menyelaraskan rangka kerja pelaporan kewangan serta amalan audit.
Beliau berkata, matlamat utama perbincangan ini adalah bagi memastikan prosedur sedia ada menjadi lebih mampan, telus, efisien dan bebas daripada sebarang ruang manipulasi atau risiko rasuah.
JANM turut merakamkan ucapan penghargaan ke atas perkongsian input strategik dan pembentangan dapatan kajian oleh Profesor Dr Nor Farizal Mohammed selaku Ketua Penyelidik UiTM.
Kajian yang signifikan ini disasarkan untuk diangkat ke peringkat tertinggi bagi menyokong pembentukan dasar negara melalui platform strategik Kerajaan seperti Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Negara (JKKTN).
© New Straits Times Press (M) Bhd




