Lawan DAP sebab kebebalan, bukan isu kaum – Akmal Saleh

Lawan DAP sebab kebebalan, bukan isu kaum – Akmal Saleh

SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempertahankan pendiriannya susulan kritikan daripada Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming yang mendakwa beliau bersikap perkauman.

Muhamad Akmal berkata, tindakannya bukan bermotifkan kaum, sebaliknya bertujuan mempertahankan bendera Malaysia dan kalimah ALLAH.

Menurutnya, pihak yang didakwa memecahbelahkan kaum sebenarnya terdiri daripada individu yang tinggal di Malaysia tetapi masih tidak memahami Perlembagaan serta perkara-perkara sensitif yang perlu dihormati.

“Kor Ming kata sayalah yang memecahbelahkan kaum-kaum dan pencetus perkauman. Saya nak tanya kepada Kor Ming dan semua orang DAP, sejak bila lawan DAP ini bermakna kita lawan orang Cina?

“Sejak bila kita lawan DAP ini bermakna kita mencetuskan perkauman? Kita lawan DAP ini sebab kebebalan DAP.

“Polisi-polisi DAP yang dibuat tidak tahu sensitiviti tentang kaum majoriti dalam negara ini. Saya pertahankan bendera Malaysia dan kalimah ALLAH. Nak sentuh bangsa Cina, langsung saya tak sentuh,” ujarnya menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Kor Ming dalam sebuah video berbahasa Cina berkata, orang ramai tidak seharusnya membiarkan Akmal Salleh merosakkan masyarakat berbilang kaum, mencetuskan konflik perkauman dan memecahbelahkan masyarakat majmuk.

Muhamad Akmal turut mempersoalkan dakwaan yang mengaitkan kritikan terhadap DAP sebagai serangan terhadap sesuatu kaum.

“Dulu saya kena. Lepas itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pula, apabila berkata tidak mahu bersama DAP, beliau dituduh bersikap perkauman.

“DAP, aku nak beritahu kau. Sejak bila DAP ini jadi satu kaum pula?” soalnya.

Scroll to Top