Malé (Maldives): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan layanan mesra Presiden Dr Mohamed Muizzu sepanjang lawatan rasmi beliau itu sebagai cerminan persahabatan, kepercayaan dan keakraban luar biasa antara Malaysia dengan Maldives.
Ketika berucap pada jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Muizzu bagi meraikan Perdana Menteri hari ini, Anwar berkata, jarang sekali beliau berpeluang menghabiskan masa yang agak lama bersama dengan ketua negara semasa lawatan rasmi.
Anwar berkata, selain keakraban hubungan peribadi kedua-dua pemimpin itu, Malaysia dan Maldives juga berkongsi prinsip dan nilai yang sama sebagai negara yang agak kecil, yang tidak seharusnya membiarkan saiz sesebuah negara membataskan aspirasi atau suara mereka di pentas antarabangsa.
“Sejak malam tadi dan sepanjang pagi ini sehinggalah majlis makan tengah hari ini, anda bersama-sama kami. Jadi, situasi ini menunjukkan persahabatan, kepercayaan dan keakraban luar biasa antara saudara dan saudari.
“Kami memahami keterbatasan kita. Anda berkata negara anda kecil. Malaysia juga agak kecil walaupun lebih besar sedikit daripada Maldives. Namun, kita tidak seharusnya berputus asa. Negara kecil yang berjiwa besar, dan itulah yang diperlukan dunia pada masa ini,” kata beliau.
Anwar berkata, negara seperti Malaysia dan Maldives boleh menunjukkan peranan mereka dalam hal ehwal dunia melalui tadbir urus yang baik, sikap bertanggungjawab dan keberanian mempertahankan kebenaran, bukannya berpegang pada tanggapan bahawa might is right.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan dan usaha Muizzu untuk mentransformasikan Maldives, yang disifatkan beliau sebagai negara yang kaya dengan potensi besar dan keindahan semula jadi yang terus menarik perhatian dunia.
Menyentuh tentang perubahan iklim, Anwar berkata, Maldives turut menanggung akibat walaupun sumbangannya terhadap pelepasan karbon global dan kemerosotan alam sekitar adalah kecil.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, negara kecil dan sedang membangun perlu lebih lantang bersuara dalam melindungi rakyat dan hak untuk kelangsungan hidup, susulan kegagalan negara perindustrian memenuhi komitmen iklim mereka.
Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Maldives berkongsi pendirian bahawa penggunaan teknologi baharu, pendigitalan dan kecerdasan buatan perlu seiring dengan pegangan agama, nilai moral dan etika.
Anwar berada di Maldives bagi lawatan rasmi dua hari yang berakhir petang ini.
Lawatan pertama beliau ke kepulauan Lautan Hindi sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022 itu adalah atas undangan Muizzu.
Anwar diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives Badli Hisham Adam.
© New Straits Times Press (M) Bhd
