PM berlepas pulang selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke Maldives

Malé (Maldives): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas pulang ke tanah air hari ini selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke Maldives.

Pesawat khas yang membawa beliau dan delegasi Malaysia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Velana pada 3.10 petang waktu tempatan (6.10 petang waktu Malaysia).

Menteri Luar Maldives Iruthisham Adam berada di lapangan terbang bagi mengucapkan selamat jalan kepada Perdana Menteri dan delegasi Malaysia.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berada di Maldives sejak semalam atas undangan Presiden Dr Mohamed Muizzu, untuk mengadakan lawatan sulung beliau ke republik kepulauan Lautan Hindi itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Beliau menerima sambutan rasmi di Pejabat Presiden sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Muizzu, disusuli mesyuarat delegasi kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman dalam bidang pertahanan dan hal ehwal Islam, selain mengadakan sidang media bersama.

Perdana Menteri juga menerima kunjungan hormat Naib Presiden Hussain Mohamed Latheef, Speaker Majlis Rakyat Maldives Abdul Raheem Abdulla dan Menteri Luar Iruthisham Adam di Niva Kurumba sebelum menghadiri jamuan tengah hari yang dihoskan Muizzu.

Sepanjang lawatan itu, pemimpin kedua-dua negara turut menyatakan komitmen untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, ekonomi digital, tenaga boleh baharu, pelancongan serta pembangunan modal insan.

Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives Badli Hisham Adam.

Malaysia dan Maldives menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1968, dengan lawatan Anwar kali ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan serta meneroka bidang kerjasama baharu yang memberi manfaat bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top