Arlington: Ketua jurulatih Australia, Tony Popovic, percaya skuad Socceroos masih mampu mencipta sesuatu yang lebih istimewa selepas berjaya melangkah ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia buat kali ketiga dalam sejarah.
Australia mengesahkan kemaraan sebagai naib juara Kumpulan D selepas seri tanpa jaringan dengan Paraguay dalam aksi terakhir kumpulan di Santa Clara, keputusan yang menguntungkan kedua-dua pasukan.
Socceroos sebelum ini mengejutkan Turkiye pada aksi pembukaan sebelum tewas kepada tuan rumah bersama, Amerika Syarikat.
Mereka kini dijadual beraksi di Dallas pada 3 Julai menentang naib juara Kumpulan G yang masih belum ditentukan, dengan saingan itu membabitkan Mesir, Iran, Belgium dan New Zealand.
“Ia hari yang cukup istimewa. Kita sudah melihat banyak pasukan besar gagal mara ke pusingan kalah mati.
“Saya percaya kami menguasai permainan dalam aksi yang sangat penting dengan dibarisi skuad muda pada perlawanan ketiga ketika segala-galanya dipertaruhkan.
“Pemain menunjukkan ketenangan, kesabaran, kualiti dan semangat juang yang tinggi.”Kini kami akan ke Dallas dan cuba melakukan sesuatu yang istimewa,” kata Popovic.
Bekas pertahanan Crystal Palace itu mempertaruhkan ramai pemain muda dan mereka membalas kepercayaan itu dengan aksi penuh disiplin untuk memastikan Australia melangkah ke pusingan kalah mati.
Popovic turut memuji pertahanan tengah berusia 18 tahun, Lucas Herrington, yang mencipta sejarah sebagai pemain termuda Australia beraksi dalam kesebelasan utama di Piala Dunia lelaki.
Pemain yang kini beraksi dalam Major League Soccer (MLS) itu dilaporkan menjadi buruan Barcelona.
“Dia memiliki bakat yang luar biasa. Sebab itu dia dipilih menyertai skuad ini, bukan sekadar melengkapkan senarai pemain.
“Dalam perlawanan paling penting daripada tiga aksi kumpulan, kami sekali lagi memberikan kepercayaan kepadanya dan dia membuktikan kemampuannya.
“Dia sudah bersedia untuk bermain. Malah, dia kecewa kerana tidak diturunkan ketika menentang Amerika Syarikat, dan saya suka melihat semangat seperti itu. Hari ini dia benar-benar cemerlang,” katanya.
Australia kini mempunyai tempoh seminggu untuk membuat persiapan menjelang aksi pusingan 32 terbaik, dan Popovic percaya rehat itu cukup penting bagi memastikan pasukannya berada pada tahap terbaik.
“Kami gembira mendapat tempoh rehat ini.
“Kami sudah mempunyai perancangan rapi untuk memastikan semua pemain yang cergas benar-benar bersedia menghasilkan satu lagi persembahan hebat yang mampu membawa kami mara lebih jauh dalam kejohanan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




