Kampung Sungai Buloh berpasak sejarah

Kampung Sungai Buloh berpasak sejarah

am@hmetro.com.my

KAMPUNG Sungai Buloh di Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan penuh dengan lipatan sejarah yang tebal, terutama ketika zaman darurat menentang pengganas komunis.

Kampung ini yang agak terpencil dan dikelilingi Banjaran Titiwangsa serta hutan tebal, pernah termasuk dalam lokasi dikategorikan sebagai kawasan hitam (kawasan aktif komunis) pada fasa awal Darurat daripada 1948 hingga 1960.

Kerajaan British ketika itu melaksanakan Rancangan Briggs yang mana sebahagian penduduk dari kawasan sekitar dikumpul dalam kampung baru yang dipagari untuk menyekat bekalan makanan dan ubat-ubatan daripada disalurkan kepada pengganas komunis.

Kesan penempatan semula ini membentuk demografi masyarakat majmuk di kawasan Simpang Durian, termasuk kampung ini yang dapat dilihat sehingga hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Buloh, Mostakim Mohammad berkata, hari ini, suasana kampung sudah banyak berubah sehingga ia menjadi tumpuan orang ramai.

Katanya, landskap kampung yang dikelilingi hutan di penghujung Banjaran Titiwangsa masih mengekalkan suasana nyaman kepada kampung.

“Hari ini, suasana tidak seperti dahulu, biarpun sektor pertanian masih menjadi sumber rezeki kepada penduduk, sektor pelancongan juga semakin bertambah maju.

“Kampung Sungai Buloh juga dikenali sebagai jelapang padi Negeri Sembilan dengan hampir 200 hektar sawah diusahakan.

“Sawah ini juga menjadi daya penarik kepada orang ramai untuk berkunjung, malah lebih 12 inap desa berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di kampung ini,” katanya.

Mostakim berkata, JPKK turut terbabit dengan aktiviti pelancongan dengan menawarkan pelbagai aktiviti kepada orang ramai.

Katanya, menerusi peruntukan Sejahtera Madani disalurkan kerajaan, pihaknya mengambil peluang memajukan industri pelancongan di kampung berkenaan.

Menurutnya, ketika ini, ada tiga kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), tujuh basikal dan sebuah bot untuk aktiviti di sungai dengan kadar sewa dikenakan pula berpatutan.

“Sungai Triang di kampung ini turut terkenal dengan pelbagai spesies ikan, malah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan mengesahkan ada lebih 21 spesies, termasuk yang dikategorikan sebagai ‘rare’ boleh didapati di sungai ini.

“Mereka yang minat memancing boleh menyewa bot atau boleh memancing di sepanjang sungai, termasuk lokasi popular di Empangan Sungai Sungai Buloh,” katanya.

Mostakim berkata, selain produk sedia ada, terdapat pelbagai program sampingan lain turut dianjurkan di kampung berkenaan seperti memancing ikan di sawah, mendaki Bukit Bongkok, Bukit Batu Beras selain memikat burung.

Menurutnya, program Buru Baung Ekor Merah (BURU) dianjurkan jabatan perikanan negeri dengan kerjasama JPKK turut diadakan di Kampung Sungai Buloh dan bakal memasuki edisi kelima.

“Program mengoca turut diadakan dan ia antara program digemari bukan sahaja golongan dewasa, malah kanak-kanak. Bagi dewasa, ia mengamit nostalgia ketika zaman kanak-kanak.

“Mereka yang menyewa ATV atau basikal boleh bersiar-siar di kawasan sawah, malah boleh menikmati sarapan atau makan tengah hari berhampiran bendang,” katanya.

Tambahnya, Dataran Sawah turut dibina bagi memberi nilai tambah kepada pengunjung, malah orang ramai boleh menyewa ‘kereta api tong air’ diusahakan penduduk dengan harga berpatutan.

Mostakim berkata, orang ramai yang berkunjung ke Kampung Sungai Buloh juga boleh melawat ladang tebu, nanas dan jika kena pada musim buah-buahan seperti durian, boleh melawat dusun sambil menikmati durian.

“Datang ke Kampung Sungai Buloh bukan sekadar mengutip pengalaman dengan merasai pelbagai produk pelancongan yang ditawarkan, sebaliknya mengetahui sejarah kampung ini juga.

“Kampung Sungai Buloh yang wujud sejak lama dulu adalah usaha kerajaan ketika itu dalam mengekang pergerakan pengganas komunis.

“Namun, siapa sangka, kampung yang dianggap terpinggir sebelum ini sudah melalui pelbagai fasa perubahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top