NEW DELHI – Seorang pempengaruh popular di India yang suka mempamerkan wang tunai dan barang kemas di YouTube berdepan padah selepas dia menjadi mangsa samun.
Rachna Gurjar yang mempunyai hampir 100,000 pengikut berkata, kejadian rompakan itu berlaku ketika dia dan keluarganya sedang nyenyak tidur di kediaman mereka di daerah Shivpuri, Madhya Pradesh.
Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan beberapa perompak memecah masuk rumah tersebut dan melarikan barang kemas, wang tunai dan sekotak minuman tenaga.
“Kerugian dianggarkan mencecah kira-kira AS$10,500 (RM43,000). Mereka turut mengubah kedudukan CCTV untuk mengelakkan wajah masing-masing dirakamkan,” ujarnya.
Pihak berkuasa telah melancarkan siasatan dan mereka percaya aktiviti Rachna yang suka menunjuk-nunjuk di media sosial mungkin menjadi petunjuk utama kes itu.
Kejadian itu turut mencetuskan perdebatan hangat dalam talian mengenai risiko mempamerkan kekayaan dan keadaan dalaman kediaman di media sosial. – Agensi



